PBSM NBD Slideshow

Ahad, 13 September 2009

Daerah Belait junjung ziarah KDYMM

BELAIT 20 JULAI 2008 - BERIBU-RIBU rakyat dan penduduk di Daerah Belait membanjiri dataran Bandaran Kuala Belait kelmarin untuk bersama raja yang disayangi yang telah berkenaan berangkat ke Daerah Belait untuk bersama rakyat di acara ramah mesra sempena hari ulang tahun ke-62 keputeraan baginda.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat ke daerah Belait dengan diiringi oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Bagi memeriahkan dan menyemarakan sambutan sempena keberangkatan Baginda Sultan, lebih 3000 penuntut-penuntut sekolah dan ahli-ahli persatuan belia muda remaja mempersembahkan persembahan khas berbentuk puisi, irama nasyid dan lagu-lagu patriotik dengan irama muzik dakwah.

Persembahan di akhiri dengan lagu Wawasan Brunei muzik ciptaan Awang Mahdi Haji Suhaili dengan liriknya di sediakan oleh Dr Haji Harun Mokti. Kemeriahan suasana majlis ramah mesra dan junjung ziarah daerah Belait jelas terlihat di wajah setiap rakyat dan penduduk yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain sebaik sahaja Baginda dan kerabat turun dari pentas diraja untuk beramah mesra bersama rakyat.


DI SEBALIK KEMERIAHAN

Sementara itu di sebalik kemeriahan acara keberangkatan raja yang di kasihi, anggota-anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam Cawangan Daerah Belait pula sibuk memberikan bantuan kecemasan kepada lebih 30 orang anak-anak sekolah yang masih kecil (berumur antara 7 ke 9 tahun) yang telah mengalami keletihan berlebihan dan sesak nafas. Peserta-peserta persembahan yang masih muda itu ada yang rebah pengsan ketika membuat persembahan di hadapan ribuan penonton-penonton termasuk yang berada di pentas diraja.
Beberapa orang pemerhati yang menyaksikan kejadian tersebut rasa terkilan kerana melihat terlalu ramai kanak-kanak terlibat di dalam acara padang pada tahun ini yang terpaksa di berikan bantuan kecemasan.

Menurut maklumat dari beberapa orang kanak-kanak yang terjejas bahawa mereka telah di arahkan untuk berada di atas pentas di bawah panas terik sebelum jam 7 pagi lagi. Mereka telah diberikan minuman dan makanan untuk sarapan pagi sebelum 'berjemur' di bawah matahari pagi yang terik itu.

Tetapi sepanjang hampir 3 jam berdiri di atas pentas persembahan dalam suasana panas terik itu, mereka tidak di bekalkan dengan air minuman untuk mengelakkan mereka dari keletihan panas (heat exhaustion). Hanya apabila semakin banyak yang tumbang barulah terlihat sebilangan ahli-ahli jawatankuasa sibuk mengagihkan air-air minuman dalam kecemasan.

Ahli-ahli PBSM NBD Cawangan Daerah Belait dengan bantuan pasukan pengakap membantu mengangkat pesakit ke khemah-khemah perubatan Kementerian Kesihatan/Hospital Suri Begawan dan ABDB bagi merawat pesakit.


Bersedia untuk membawa pesakit


Pasukan membawa seorang pesakit ke khemah perubatan/kecemasan

Keadaan dalam khemah perubatan/kecemasan


(Laporan berita dan foto diambil dari blog NDP dengan melakukan beberapa pengeditan sesuai dengan peraturan PBSM NBD yang menyatakan bahawa PBSM NBD adalah sebuah NGO bebas dari unsur-unsur politik)