PBSM NBD Slideshow

Jumaat, 30 April 2010

Tegang/Kejang Otot

Ini berlaku apabila sesuatu otot terkoyak, tertarik atau meregang dengan satu pergerakan yang tiba-tiba. Ia biasanya terjadi apabila benda yang terlalu berat dibawa dengan cara yang tidak betul atau semasa aktiviti sukan.

Tanda-tanda:
- Sakit yang mendadak di bahagian yang cedera
- Kekakuan dan kekejangan mungkin terjadi
- Bengkak di bahagian yang cedera

Cara merawat:
1. Rehatkan bahagian yang cedera dengan kedudukan yang selesa
2. Letakkan ketulan ais yang dibungkus di bahagian yang cedera
3. Tekan bahagian yang cedera dengan satu lapisan tebal kapas dan balutkannya
4. Tinggikan bahagian yang cedera
5. Dapatkan bantuan perubatan.

Rabu, 28 April 2010

Patah & Terkehel

Patah ialah tulang pecah atau retak. Ia mungkin disebabkan oleh daya secara langsung (contohnya jika seseorang dilanggar oleh sebuah kenderaan yang bergerak) atau daya tidak langsung (contohnya jika seorang pemain bolasepak telah tersepak tanah dan bukannya bola maka daya mungkin dialihkan untuk memecah tempurung lututnya). Terkehel berlaku apabila satu tulang teranjak di bahagian sendi.

Tanda-tanda:
- Pesakit mungkin terasa atau terdengar bunyi patah tulang
- Bengkak dan lebam
- Kecacatan bentuk di tempat yang patah atau terkehel
- Pesakit juga mungkin menunjukkan tanda-tanda kejutan, ini amat ketara jika patah berlaku di tulang paha atau pelvis

Langkah rawatan yang akan dilakukan ini bertujuan untuk mencegah pergerakan di sekeliling tempat yang terlibat .

Cara merawat:
1. Suruh pesakit baring sehingga bahagian yang patah telah dicegah pergerakannya dengan sempurna. Jika nyawa pesakit terancam, barulah dia dipindahkan.
2. Gunakan kayu belat di tempat yang terlibat. Balut atau ikat untuk mencegah pergerakan.
3. Ikat pembalut dengan kuat untuk mecegah pergerakan, tetapi tidak terlalu kuat kerana ia boleh menjejaskan pengaliran darah.
4. Semasa membalut anggota yang patah, sendi-sendi di bahagian atas dan bawah anggota juga harus dicegah pergerakannya.
5. Hantarkan mangsa ke hospital dengan segera.

Penting: Rawat terlebih dahulu masalah kesukaran pernafasan, perdarahan yang banyak dan tidak disedarkan diri sebelum merawat anggota yang patah.

Seramai 34 peserta sertai Bengkel Guru-guru Pengawas Pasukan Beruniform

TEMBURONG, Ahad, 25 April. – Jabatan Pendidikan Kokurikulum mengelolakan Bengkel dan Perkhemahan Guru-guru Pengawas Pasukan Beruniform Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara selama tiga hari.

Bengkel yang disertai 34 peserta itu bertujuan bagi memberi kefahaman kepada guru-guru pengawas tentang peranan, tugas dan tanggungjawab, berakhir dengan penyampaian sijil kepada para peserta, disampaikan oleh Pegawai Daerah Temburong, Awang Matussin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba, di Sekolah Rendah Sultan Hassan Bangar, di sini.


PEGAWAI Daerah Temburong, Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba menyampaikan sijil kepada peserta Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei yang menyertai Bengkel dan Perkhemahan Guru-guru Pengawas Pasukan Beruniform Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara.

Sejumlah enam buah pasukan beruniform yang terdiri dari Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah menyertai bengkel yang diungkayahkan oleh Bahagian Beruniform, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

Semasa bengkel diadakan, para peserta melaksanakan beberapa aktiviti antaranya melawat Kampung Belingus, mendaki Bukit Patoi, melawat ke Ulu Belalong dan mendengarkan ceramah mengenai pengurusan masa yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Temburong.



PEGAWAI Daerah Temburong, Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba menyampaikan sijil kepada peserta Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat dan Pasukan Pengakap yang menyertai Bengkel dan Perkhemahan Guru-guru Pengawas Pasukan Beruniform Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara.

Dengan adanya bengkel seumpamanya akan membolehkan para guru pengawas memimpin ahli-ahli pasukan masing dengan lebih teratur, berdisiplin dan berwawasan.

Melalui bengkel juga dapat mewujudkan sikap bertoleransi dan pemedulian antara pasukan yang lain serta dapat mengeratkan silaturahim di kalangan para guru pengawas dan pasukan-pasukan beruniform.

(Berita dan Foto : Nurhidayah Haji Kamis)

Pelita Brunei Online - 25 April 2010

Selasa, 13 April 2010

Pengsan dan Pitam

Pengsan dan pitam adalah peringkat tidak sedarkan diri yang singkat. Ianya terjadi disebabkan oleh otak seseorang yang tidak berfungsi dengan betul. Di antara penyebabnya ialah:

1. Kekurangan darah di dalam otak
2. Kekurangan oksigen di dalam otak apabila pernafasan terganggu
3. Merasa sakit kepala yang teramat sangat sehingga menyebabkan pengsan

Cara merawat:
1. Baringkan pesakit dengan kedudukan kepalanya rendah.
2. Longgarkan pakaian ketat.
3. Lap mukanya dengan tuala basah ATAU biarkan dia menyedut larutan harum ammonia
4. Apabila dia telah sedar semula, suruhlah ia bangun sendiri. Apabila ia sudah mampu bangun, berikan minuman sama ada air, kopi atau teh panas.

Selasa, 6 April 2010

Tercekik

Tercekik berlaku apabila laluan udara tersekat.

Tanda-tanda tercekik:
- Mangsa tidak dapat bernafas dan mencengkam kerongkong
- Bibir dan mulut berubah menjadi biru
- Mungkin pengsan

Cara merawat:
Untuk Bayi – Pegang bayi, kaki ke atas dan kepala ke bawah. Buka mulut dan tarik lidahnya ke depan. Biarkan benda penghalang keluar.




Untuk Kanak-Kanak – Pegang kepala mangsa ke bawah di atas lengan atau lutut awda. Buka mulut dan tarik lidahnya ke depan. Suruh mangsa supaya batuk.



Untuk Orang Dewasa – Biarkan mangsa duduk, kepala lebih rendah daripada paru-parunya. Suruh pesakit supaya batuk.



Dalam semua kes, jika benda penghalang tidak dapat dikeluarkan, kekalkan kedudukan mangsa dan tampar di antara tulang kipas. Ulang sebanyak 4 kali. Jika benda penghalang kelihatan tetapi tidak dapat diluahkan, gunakan jari untuk mengeluarkannya. Jika mangsa mengalami kesukaran bernafas selepas benda penghalang dikeluarkan, mulakan CPR.