Oleh Hajah Saemah Zulkefli dan Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt - Ibadah korban terus dilaksanakan di sana sini manakala
daging-daging korban diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Ia dilakukan
oleh umat Islam sebagai memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail
dalam mentaati perintah Allah.
Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Brunei dan Muara juga tidak ketinggalan
menghulurkan bantuan dan juga mengagihkan daging korban kepada fakir-fakir
miskin menerusi Majlis Ibadah Korban Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Brunei
dan Muara yang diadakan di Masjid Ash Shaliheen, hari ini.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah
Daerah Brunei dan Muara, majlis berkenaan dihadiri oleh beberapa orang pegawai
dan ahli keluarga persatuan di mana hadir selaku tetamu kehormat dan
menyempurnakan pengagihan daging korban ialah Presiden Majlis Kebangsaan
Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, Datin Hajah Siti Hajar
binti Pehin Dati Haji Yussof.
Menurut kenyataan lagi, seekor lembu telah dikorbankan dengan daging-daging
korban diagih-agihkan kepada beberapa orang fakir miskin yang ada dalam senarai
program Bantuan Kemanusiaan Bulan Sabit Merah Daerah Brunei Muara.
[Diedit dari Media Permata keluaran Isnin 29 Oktober 2012 dan disesuaikan untuk pos-blog]