PBSM NBD Slideshow

Selasa, 6 Oktober 2009

JPKK anjur Bengkel Pengawas Pasukan Bulan Sabit Merah

BERAKAS, Sabtu, 13 Jun. – Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan hari ini memulakan Bengkel Guru-guru Pengawas Pasukan Bulan Sabit Merah Sekolah-sekolah Menengah/Maktab 2009, bertempat di JPKK Lambak Kanan.

Bengkel tiga hari itu bertujuan bagi membolehkan para peserta mengetahui latar belakang dan organisasi Persatuan Bulan Sabit Merah (PSBM) Brunei Darussalam selain memberi pengiktirafan kepada para peserta sebagai ahli penuh persatuan dan seterusnya berhak dilantik untuk memegang mana-mana jawatan di dalam persatuan.

Di samping itu, ianya juga membolehkan para peserta berkongsi dan bertukar-tukar pengalaman dengan guru-guru pengawas yang sudah mempunyai kemahiran dalam bidang pertolongan cemas.

Sebanyak empat tajuk ceramah disampaikan oleh pengendali bengkel, Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan yang termasuk sejarah penubuhan PBSM Brunei Darussalam, pengenalan carta PBSM, pengenalan prinsip-prinsip PBSM dan peranan guru-guru Pengawas dan syarat-syarat penubuhan pasukan di sekolah-sekolah dan maktab-maktab.

Bengkel serupa juga akan diadakan selama dua hari di Sekolah Rendah Anggerek Desa bermula 14 hingga 15 Jun ini. Setakat ini terdapat lebih 3,000 orang menjadi ahli yang terdiri dari penuntut, kakitangan awam, doktor, jururawat, jurutera, usahawan, dan pesara menjadi ahli berdaftar pada PBSM NBD.


GURU-GURU Pengawas Bulan Sabit Merah mendengarkan taklimat di Bengkel Guru-Guru Pengawas Pasukan Bulan Sabit Merah Sekolah-Sekolah Menengah/Maktab 2009-09-20 bertempat di Jabatan Pendidikan Kokurikulum Lambak Kanan. (Foto : Abdul Kadir Md. Tahir)

(Oleh : Abdullah Asgar) – Pelita Brunei versi Online http://www.pelitabrunei.gov.bn/news/pelita/14june/utama.htm

Hari Bulan Sabit Merah Sedunia diraikan setiap 8 Mei

KUALA BELAIT, Jumaat, 8 Mei. – Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Belait (PBSMDB) pagi tadi menyambut Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia yang diraikan pada 8 Mei setiap tahun.

PEGAWAI Latihan danPerkembangan Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD), Awang Jimmy Foo Jee Shing menyampaikan surat tauliah jurulatih kepada salah seorang penerima.

Tetamu kehormat juga menyampaikan surat kenaikan pangkat pegawai peringkat rendah kepada empat orang penerima termasuk Sarjan Md. Nizar bin Minggu yang dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Percubaan, seorang Lans Koperal kepada Koperal dan dua orang dinaikkan Lans Koperal pada majlis yang diadakan di ibu pejabat persatuan berkenaan.

Timbalan Pengarah Daerah Persatuan tersebut, Awang Haji Pungot bin Haji Awang Damit berharap semua pegawai dan ahli persatuan supaya mempergiatkan lagi aktiviti yang telah dan akan diselenggarakan tahun ini.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai dan ahli persatuan yang telah memberi pertolongan semasa negara menghadapi bencana alam seperti banjir baru-baru ini.

“Inilah dikatakan semangat patriotik kebangsaan negara, semangat yang sentiasa ditanam dalam jiwa anak bangsa kita, dalam apa jua situasi pun kita sentiasa bersedia.” ujar beliau.

Sambutan merupakan projek tahunan persatuan dengan matlamat bagi mengenang jasa pengasas persatuan sedunia, di samping mendedahkan kepada semua ahli mengenai penubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di seluruh dunia serta mengumpulkan kesemua ahli persatuan khususnya cawangan daerah ini bagi mengeratkan silaturahim di antara pegawai pentadbiran dengan unit.

Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam yang dulu dikenali sebagai Persatuan Palang Merah ditubuhkan pada tahun 1948 dan diasaskan oleh Al-Marhum Pengiran Temenggung Pengiran Haji Mohammad.



JASAMU DIKENANG... Tetamu kehormat menyematkan pangkat Pegawai Percubaan kepada Sarjan Md. Nizar bin Minggu.

Penubuhannya di negara ini bagi menyahut seruan keputusan Persidangan Pertubuhan Antarabangsa pada 5 Mei 1919 di Canvas, Perancis untuk lebih banyak lagi penubuhan palang merah di seluruh dunia.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, persatuan berkenaan telah diiktiraf secara sah dalam perlembagaan negara dalam tahun 1959 dan setelah merdeka persatuan itu diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalm Akta CBD di bawah Penggal 83 (3) bertarikh 17 Januari 1991 sebagai sebuah persatuan bantuan sukarelawan yang dipertanggungjawabkan tertakluk pada syarat-syarat permesyuaratan Geneva.

Salah satu tujuan penubuhan persatuan tersebut di negara ini bagi mengadakan satu persatuan yang terbuka dengan tiada diskriminasi agama, bangsa, warna kulit dan politik serta menggalakkan penyertaan terutama para belia bagi membentuk jasmani, akal. Sosial dan rohani supaya boleh mengambil tempat yang membina dalam masyarakat.

Tugas utama persatuan tersebut bagi memberikan bantuan kecemasan kepada masyarakat, pembukaan bilik gerakan bagi bencana alam dan tidak ketinggalan menjalankan tugas kecemasan semasa banjir baru-baru ini di daerah Tutong.

Dengan pegawai dan ahli seramai lebih seratus orang, persatuan tersebut menyelenggara berbagai aktiviti seperti pengambilan ahli-ahli baru di sekolah-sekolah di daerah ini, mengadakan ceramah pertolongan cemas serta mengadakan perkhemahan dan lawatan.

(Berita dan Foto : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli)

Pasukan Bulan Sabit Merah Sertai Perkhemahan di Labi

LABI, 19 Mac 2009 – Seramai 140 orang ahli pertubuhan beruniform dari beberapa buah sekolah seluruh negara telah menyertai Perkhemahan Pertubuhan Beruniform kali ke 8 tahun 2009. Perkhemahan yang diadakan selama 4 hari 3 malam bermula pada hari ini dan berakhir pada 22 Mac 2009 turut disertai oleh beberapa orang guru pengawas dan ahli-ahli dari Pertubuhan Bulan Sabit Merah Sekolah-sekolah Menengah Negara Brunei Darussalam.

Perkhemahan ini dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam sebagai kegiatan tahunan jabatan berkenaan yang mengambil tempat di Pusat Kegiatan Kokurikulum jabatan berkenaan yang merupakan bekas Sekolah Rendah Rampayoh di Mukim Labi yang tidak digunakan lagi.

Perkhemahan dibuka rasmi oleh Yang Mulia Datin Paduka Dyg Apsah binte Haji Abdul Majid Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam pada pagi Jumaat, 20 Mac 2009.


Tetamu Kehormat sedang memeriksa perbarisan dari
Pasukan Bulan Sabit Merah yang menyertai perkhemahan
Antara aktiviti yang mengambil tempat termasuk aktiviti kawad, taklimat asas pertolongan cemas daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD) Cawangan Daerah Belait, Aktiviti Merintis, aktiviti treking dari Wasai Wong Kadir ke Bukit Teraja, aktiviti berjalan malam dan sukan kecil yang bertujuan mendedahkan peserta dengan aktiviti bercorak pembangunan jati diri, mewujudkan sikap toleransi, persefahaman dalam berpasukan dan memberi pendedahan awal kepada bidang kerjaya beruniform.


Dengan mengikuti aktiviti dalam pasukan beruniform itu dapat membantu diri pelajar memupuk dan membentuk diri supaya menjadi generasi bangsa yang mempunyai sikap, tingkah laku dan pemikiran yang positif, produktif serta kreatif dan juga melatih menjadi pemimpin masa akan datang.


Perkhemahan berakhir dengan penyampaian hadiah dan sijil penyertaan disempurnakan oleh Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Ali Haji Ismail.




PBSM NBD SERTAI PERBARISAN LALU HARI KEBANGSAAN KE 25

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Februari. – Suasana gilang-gemilang Perhimpunan Agung Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tahun ini turut dimeriahkan dengan upacara perbarisan lalu yang disertai oleh 18,273 peserta dari 108 pasukan yang mengambil bahagian.

Pasukan-pasukan yang terlibat terdiri dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, institusi-institusi pendidikan kerajaan dan swasta, persatuan-persatuan, pertubuhan-pertubuhan dan sektor-sektor swasta di negara ini.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima tabik hormat perbarisan lalu pasukan-pasukan yang melintasi pentas diraja Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Upacara perbarisan lalu di hadapan pentas diraja didahului oleh pasukan pembawa bendera besar Negara Brunei Darussalam terdiri dari 47 anggota ABDB kemudian disusuli oleh pasukan pembaca ikrar seramai 25 orang yang diketuai oleh Awangku Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki diikuti oleh 245 peserta yang membawa bendera Negara Brunei Darussalam dan bendera logo. Pasukan dari ABDB menyusuli acara perbarisan lalu melibatkan seramai 1025 peserta diikuti oleh 1000 peserta dari PDB.

Perbarisan raksasa ini turut disertai oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam yang telah menghantar seramai 120 orang ahli. Selain dari menyertai perbarisan, hampir 50 orang ahli PBSM NBD yang lain telah bertugas sebagai paramedik di dalam dan di sekitar kawasan stadium.


120 ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam di dalam perbarisan lalu sempena Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 23 Februari 2009
(Foto: Jabatan Penerangan /www.infofoto.gov.bn)

Bantuan Kepada Mangsa Banjir Daerah Tutong

TUTONG, Ahad, 15 Februari 2009 – Hujan yang turun sejak 4 Febuari 2009 telah menenggelami sebahagian kawasan di beberapa buah kampung di Mukim Tanjong Maya. Kampung-kampung yang terlibat termasuk Kampong Tanjong Maya, Lubok Pulau, Penapar, Ukong dan Layong.


Air yang melimpah dari Sungai Tutong setinggi antara satu ke 2 meter telah memutuskan beberapa batang jalan raya di mukim tersebut. Keadaan ini berlanjutan selama seminggu lebih. Pada masa yang sama proses bantuan kepada mangsa terus berjalan serentak.


Bagi operasi pemulihan pada hari ini, selain dari Jabatan Bomba dan Penyelamat dan beberapa agensi kerajaan yang lain, terdapat juga sukarelawan dari beberapa pertubuhan dan institusi pengajian tinggi mengikuti aktiviti berkenaan seperti Mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Majlis Belia Daerah Tutong, Sukarelawan HSBC, peserta Program Belia Cinta Tanahair dan juga pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat.


Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD) Cawangan Daerah Tutong turut menghantar sepuluh orang ahlinya bagi mengikuti operasi berkenaan yang tertumpu di sekitar kawasan Kampong Penapar, Mukim Tanjung Maya. Pasukan berkenaan diketuai oleh Awang Bakar Abd. Rahman dengan dibantu oleh Awang Zainuddin bin Salleh serta beberapa ahli persatuan berkenaan.

Di antara aktiviti yang dibuat oleh pasukan ini ialah membersihkan bahagian dalam rumah termasuk perabut serta halaman beberapa buah rumah yang terjejas di kampong berkenaan. Selain itu, pasukan ini juga menyediakan khidmat rawatan kecemasan bagi keperluan penghuni-penghuni rumah berkenaan.

Kegiatan ini sesuai dengan misi PBSM NBD yang memberi perlindungan dan menyelamatkan nyawa semasa berlakunya kemalangan, bencana dan darurat selain prihatin dengan aspek-aspek kebajikan masyarakat yang lain seperti membantu mereka yang kurang bernasib, orang-orang cacat serta melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan yang lain dalam masa aman.

Pendedahan ahli-ahli PBSM NBD di dalam kegiatan yang melibatkan beberapa buah agensi sukarelawan ini melahirkan semangat bekerjasama tanpa mengira siapa serta memberikan pengalaman yang berguna yang boleh dijadikan panduan di dalam kegiatan-kegiatan yang akan datang.

Operasi berakhir dengan majlis bacaan doa selamat dan jamuan makan tengahari yang diadakan di halaman masjid kampong berkenaan.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah SM Sayyidina Husain sertai Lawatan ke ABDB

Berakas Garrison, Jumaat, 29 Ogos 2008 – Sebanyak 6 buah pertubuhan pasukan beruniform di bawah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam beserta beberapa orang pegawai dari jabatan berkenaan telah mengadakan lawatan ke Berakas Garrison. Rombongan tersebut diketuai oleh Awang Ali Haji Ismail, Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah diwakili oleh pasukan Bulan Sabit Merah SM Sayyidina Husain Jerudong yang diketuai oleh Cikgu Maslina Haji Ali dan Cikgu Saliati Hj Md Salleh dengan disertai oleh 2 orang ahli lelaki dari sekolah berkenaan dan 2 orang ahli perempuan dari Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam cawangan Daerah Brunei-Muara selaku pemerhati.

Rombongan disambut oleh YM Mejar Idris OKMB Hj Othman, Pegawai Pemerintah Kadet Tentera ABDB. Di antara kegiatan menarik di dalam lawatan tersebut ialah lawatan ke khemah Perkhidmatan Perubatan Tentera (MRS) di mana anggota-anggota perubatan tentera memperlihatkan peralatan dan juga tunjukcara rawatan kecemasan. Wakil dari pihak berkenaan juga menyampaikan cenderamata berupa buku Manual Rawatan Kecemasan yang digunakan oleh pihak ABDB. Cenderamata berkenaan diterima oleh Cikgu Maslina yang kemudiannya menyerahkan buku tersebut kepada wakil PBSM NBD Cawangan Daerah Brunei-Muara untuk simpanan.

Ahli pasukan Bulan Sabit Merah juga menyertai pertandingan menembak dengan menggunakan senapang dan pistol di mana salah seorang ahli lelaki Bulan Sabit Merah telah menjuarai pertandingan menembak dengan menggunakan pistol.


Aturcara lawatan berakhir dengan penyampaian hadiah dan cenderamata, bacaan doa selamat dan jamuan makan tengahari.



RBAF Receives Uniformed Association

Berakas Garrison, Friday 29 August 2008 – Royal Brunei Armed Forces' (RBAF) Military Cadets team at Berakas Garrison Shooting Field was visited by the Co-Curricular Education Department of the Ministry of Education with the objective of learning how to manage and properly organise cadet training and administration activities.


The visiting entourage, led by the Acting Assistant Director of Co-Curricular Education, Ali Hj Ismail, consisted over 51 supervising teachers and members of uniformed teams who were also accompanied by officers from the Co-Curricular Education Department. The teams included Police cadets, Fire and Rescue cadets, Scouts, Girl Guides and Red Crescent members from various schools.


During the visit, the uniformed teams had the opportunity to have a closer look at how RBAF handles and carries out their training activities, such as shooting and proper use of weapons. The visitors also witnessed various demonstrations of routine cadet training activities such as setting up tents, emergency first aid practices and use of radio communications.Welcoming the visitors and leading them on a tour of the facilities was Commanding Officer of the RBAF Military Cadet Team, Major Idris OKMB Hj Othman.

(Originally Posted By : Norhani Timbang on Monday, September 1st, 2008)
Source: http://www.mindef.gov.bn/