Foto : Abdul Kadir Md. Tahir
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 21 Mac. – Program ‘Outreach’, Kem Jati Diri Belia diharapkan akan dapat melahirkan belia yang komited, berdaya tahan serta mempunyai jati diri yang mantap, di samping lebih bertanggungjawab kepada semua perkara termasuk diri sendiri, masyarakat, keluarga dan negara.
Ke arah itu, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah mengendalikan program tersebut bermula dengan sesi pendaftaran peserta terdiri dari para belia dari seluruh negara.
PESERTA Kem Jati Diri Jabatan Belia dan Sukan semasa ditunjuk ajar cara membuat pertolongan cemas oleh Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah.
Pada sesi itu para peserta juga diberikan taklimat mengenai tujuan, kandungan program, lokasi dan jangka masa program disampaikan oleh Setiausaha Program, Awang Nassir bin Pungut termasuk penerangan mengenai pertolongan cemas (1st Aid) disampaikan oleh salah seorang ahli Persatuan Bulan Sabit Merah.
Awang Nassir dalam taklimatnya menerangkan, program tersebut antara lain bertujuan mendedahkan para belia kepada aktiviti agresif dan mencabar yang memerlukan keberanian, ketabahan minda dan kekuatan fizikal.
Ia juga bertujuan memupuk keyakinan diri serta memberikan kesedaran dalam mewujudkan semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri, kumpulan, masyarakat, ugama, bangsa dan negara serta menanamkan rasa cinta terhadap alam sekitar dan alam semula jadi.
Selain dari itu program tersebut juga mendekatkan diri peserta untuk mengenali alam flora dan fauna di samping menghargai dan memelihara alam sekitar negara ini.
PESERTA Kem Jati Diri Jabatan Belia dan Sukan semasa ditunjuk ajar cara membuat pertolongan cemas semasa mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher oleh Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah.
Program lima hari itu juga bertujuan untuk mengisikan masa lapang belia semasa cuti persekolahan penggal pertama dengan aktiviti-aktiviti positif, lasak dan mencabar.
Setiap daerah diwakili oleh 12 belia berumur di antara 16 hingga 19 tahun.
Antara aktiviti program termasuk sesi suai kenal, aktiviti keagamaan dan patriotik, kerja-kerja berkumpulan, mendaki bukit, Bar (abseiling), ekspedisi kayak, Malam Solo dan Malam Mac (Night March & Solo Night), halangan, permainan (games), ̀Orienteering’, sukan pantai dan kesedaran diri `Hidup Positif’.
Di akhir program para peserta program juga akan diberikan sijil penyertaan.
- Pelita Brunei. Sabtu, 27 Mac 2010.