PBSM NBD Slideshow

Rabu, 3 Mac 2010

Tugas sukarelawan tuntut pengorbanan mendalam

Oleh Sim Y H

Teuku Alaidinsyah

Zuchairiah Lukman


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kejadian tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 bagaikan mimpi buruk bagi ratusan ribu penduduk wilayah itu apabila air setinggi 60 meter dengan deras menghancurkan lebih 60 peratus infrastruktur dan bangunannya.

Di samping itu, lebih daripada 270,000 penduduk terkorban dan ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal mereka.


Tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi di dasar laut sekuat 9 pada skala Richter itu tidak menyebabkan kemusnahan Aceh tetapi tsunami yang melanda berpunca dari gempa bumi itu menghancurkan bukan sahaja kehidupan tetapi menguji ketabahan serta keprihatinan penduduk seluruh dunia.


Lebih 10,000 sukarelawan dari Persatuan Bulan Sabit dan Palang Merah seluruh dunia termasuk Brunei menyertai operasi kemanusiaan dan bantuan di sana.


Sukarelawan yang berada di Aceh turut membantu tentera tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuk bantuan kecemasan awal serta kegiatan mencari dan menyelamat.


Mereka turut berada di Aceh sehingga enam bulan selepas kejadian bagi membantu penduduk yang terjejas dari segi fizikal dan mengalami trauma.


Perkara itu merupakan sebahagian daripada pengalaman yang dikongsi wakil Persatuan Palang Merah Indonesia, Teuku Alaidinsyah ketika ditemui Media Permata pada Forum Pembangunan Organisasi Asia Tenggara 2010 di Jerudong, hari ini.


Menurutnya, selain bantuan kemanusiaan dan perubatan, sukarelawan turut menolong mendirikan khemah perlindungan bagi mangsa yang kehilangan rumah.


Seorang lagi wakil dari Indonesia, Zuchairiah Lukman berkata bahawa cabaran yang dihadapi ketika operasi kemanusiaan di Aceh merupakan bantuan ubat dan air yang bersih bagi kegunaan mangsa-mangsa.


Beliau menjelaskan disebabkan bencana skala besar itu, banyak kelemahan dikenal pasti dalam mengendalikan bencana yang belum pernah dialami di Indonesia sebelum itu.


Malah dalam menangani kelemahan itu serta untuk membangunkan semula Aceh, ia memerlukan pembangunan kapasiti menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Organisasi lima tahun dalam pelbagai bidang termasuk menyediakan bantuan perubatan, bekalan air bersih dan pengedaran ubat-ubatan ke kawasan yang terjejas.

--media PERMATA

Tiada ulasan: