PBSM NBD Slideshow

Isnin, 31 Januari 2011

Rombongan Bulan Sabit Merah Belait kunjungi Rumah Orang Tua

Oleh Hajah Saemah Zulkefli
Salah seorang daripada penghuni Rumah Orang Tua Seria yang tidak lagi boleh berjalan turut dilawat ke biliknya kemudian turut dihulurkan sumbangan sempena sambutan Tahun Baru Cina disampaikan oleh Awang Chai Yum Fatt.
SERIA, 28 Jan - Serombongan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Daerah Belait telah membuat kunjungan ke Rumah Orang Tua dekat sini hari ini.

Rombongan tersebut yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Daerah Belait, Awang Chai Yum Fatt telah turut disertai oleh beberapa ahli-ahli lainnya termasuk Awang Young Kon Siew, Awang Young Kiam Pin, Awang Lim Thian Ming, Awang Chiam Toon Kwang, Awang Liew Hian Hong dan Awang Haji Ismail Kassim.

Kunjungan tersebut merupakan kesinambungan melalui siri lawatan Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Daerah Belait ke jabatan-jabatan kerajaan pada beberapa minggu lalu.

Bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina, persatuan tersebut telah membuat inisiatif untuk mengunjungi penghuni-penghuni Rumah Orang Tua di pekan ini, untuk menyampaikan sumbangan berupa keperluan makanan seharian dan semasa perayaan nanti, dan juga menyampaikan sumbangan "Hoong Pau".

Sumbangan Hoong Pau disempurnakan penyampaiannya oleh pengerusi persatuan tersebut, Awang Chai Yum Fatt disertai sama penyampaian sumbangan Hoong Pau daripada ahli-ahli lainnya yang menyertai kunjungan tersebut.

Sementara itu Awang Chai Yum Fatt ketika ditemui pula menyatakan, persatuan mereka dijangka akan mengadakan perjanjian kerjasama melalui penandatanganan perjanjian persefahaman (MoU) bersama-sama dengan Jawatankuasa Majlis Rumah Orang Tua Seria dalam masa terdekat ini, sebagai salah satu kegiatan mereka dalam meningkatkan kegiatan kemasyarakatan terutama sekali kepada orang-orang tua.

Kunjungan hari ini juga turut bertujuan untuk terus menanamkan perasaan kasih dan sayang terhadap orang-orang tua yang perlu terus diberikan keprihatinan sebagai membantu memberikan mereka kegembiraan dan keceriaan terutama sekali menjelangnya sambutan Tahun Baru Cina yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi.

Di samping itu ahli-ahli persatuan itu juga berhasrat untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman ke atas tugas-tugas yang perlu mereka laksanakan melalui persatuan itu secara penuh komitmen dan ikhlas.

Menurut Awang Chai Yum Fatt, mereka juga akan melaksanakan kegiatan-kegiatan yang menjurus ke arah mengukuhkan ikatan silaturahim bersama-sama dengan masyarakat dan mengetengahkan persatuan mereka untuk lebih dikenali oleh orang ramai dan juga mengajak mereka yang berminat untuk menyertainya terutamanya di kalangan belia-belia.

- Media Permata Online - Sabtu/Ahad 29 Januari 2011


Tiada ulasan: