PBSM NBD Slideshow

Rabu, 4 April 2012

20 peserta ikuti Kursus CPR, Pertolongan Kecemasan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Mac. - Lebih 20 peserta pagi tadi menghadiri Kursus Pulmonari Pernafasan (CPR) dan Pertolongan Kecemasan berlangsung di Bangunan Pusat Perkembangan Sumber Tenaga Manusia (PPSTM), Jalan Ong Sum Ping, di sini.


Para peserta kursus terdiri dari pegawai-pegawai dan guru-guru pengawas Bulan Sabit Merah, guru-guru sukan Sekolah Rendah serta guru-guru pengawas Pasukan Beruniform iaitu Kadet Tentera, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap serta Pasukan Pandu Puteri.

Kursus dua hari bermula 19 Mac hingga hari ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Bahagian Pasukan Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan dengan kerjasama PPSTM, Kementerian Kesihatan.



PARA peserta Kursus Pulmonari Pernafasan (CPR) dan Pertolongan Kecemasan semasa membuat latihan pertolongan kecemasan. (Foto : Ihsan Brunei Times)

Para pembimbing kursus terdiri daripada Persatuan Smarter, Pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang dan pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Seramai 100 peserta dijangka akan mengikuti kursus ini secara berperingkat-peringkat bermula dari 19 Mac sehinggalah awal bulan Mei nanti.

Taklimat kursus disampaikan oleh Jururawat Kanan, Bahagian Resusitasi Ong Sum Ping, Pengiran Abu Bakar bin Pengiran Haji Ibrahim yang dalam taklimatnya antara lain menjelaskan tujuan utama pertolongan kecemasan ialah mempromosi alam sekitar yang selamat dan pemuliharaan, mengelakkan kecederaan atau penyakit daripada bertambah teruk, melindungi kehidupan dan memberikan keselesaan kepada pesakit.

Selain itu beliau juga menerangkan prosedur yang betul bagi memberikan bantuan kecemasan kepada pesakit yang memerlukan pertolongan.

Semasa kursus para peserta juga berpeluang melakukan praktikal bagi prosedur CPR sementara di akhir kursus mereka akan diberikan peluang untuk mengutarakan soalan dalam sesi soal jawab.

Antara tujuan kursus itu adalah untuk mendedahkan para peserta kepada cara memberikan rawatan dan bantuan awal kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan dan memberikan pengetahuan asas dalam pertolongan cemas dan CPR memandangkan peserta-peserta dari pasukan beruniform sering mengadakan aktiviti-aktiviti luar.

Jabatan Pendidikan Kokurikulum mengharapkan sebahagian daripada peserta ini nanti akan dapat menjadi tenaga pengajar kepada pasukan masing-masing serta dapat mengongsikan pembelajaran tersebut kepada ahli-ahli di bawah pengawasan mereka.


(Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani)

Pelita BRUNEI Online - 21 Mac 2012.


Tiada ulasan: