PBSM NBD Slideshow

Jumaat, 17 Ogos 2012

Asas pertolongan cemas perlu dipelajari

TUTONG, Selasa, 31 Januari. - Individu perlu mempelajari serba sedikit teknik-teknik asas pertolongan cemas, kerana ia boleh menyelamatkan nyawa seseorang apabila berlaku kemalangan atau kecemasan.

Ketua Cawangan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Daerah Tutong, Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly menyatakan demikian semasa berucap selaku Pengerusi Program Kursus Asas Pertolongan Cemas (First Aids) Daerah Tutong Bagi Tahun 2012, berlangsung di Pusat Belia, di sini.


PEGAWAI Pentadbir Tingkat Khas, Jabatan Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirizal bin Pengiran Haji Mahmud semasa menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Program Kursus Asas Pertolongan Cemas (First Aids) Daerah Tutong Tahun 2012.

Menurutnya, Kursus Asas Pertolongan Cemas tersebut merupakan salah satu lagi program JBS Cawangan Daerah Tutong dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Tutong dalam usahanya untuk meningkatkan kemahiran di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan serta belia-belia di daerah ini.
"Kepentingan atau keperluan kursus ini amatlah relevan bagi memenuhi keperluan hidup bermasyarakat dan saya percaya sebilangan besar kita ini tidak terbiasa dengan keadaan atau suasana panik serta tertekan apabila melihat ada seseorang yang tercedera atau dalam keadaan bahaya akibat sesuatu penyakit, kemalangan dan sebagainya," ujar beliau.
Katanya, keadaan seumpama ini boleh saja berlaku di mana-mana dan bila-bila masa sahaja umpamanya di rumah, di tempat kerja, di sekolah, di jalan raya dan sebagainya di mana semua kemalangan atau kes kecemasan ini perlu diberi bantuan kerana bantuan kecemasan atau bantuan awal boleh memberi kelegaan kepada si mangsa dan boleh mengelak daripada tahap kecederaan menjadi lebih teruk dan kritikal sementara menunggu ketibaan ambulan atau pakar-pakar perubatan yang berkelayakan.

SEBAHAGIAN dari para peserta yang mengikuti Program Kursus Asas Pertolongan Cemas (First Aids) Daerah Tutong Tahun 2012.

Seramai 29 peserta berjaya menamatkan kursus asas selama dua hari bermula 30 Januari lalu itu.
Mereka terdiri daripada pegawai dan kakitangan JBS Cawangan Daerah Tutong, Ahli Persatuan-persatuan Belia, orang persendirian dan belia-belia Daerah Tutong.
Sepanjang kursus, para peserta mengikuti beberapa sesi taklimat merangkumi langkah-langkah awal yang perlu dilakukan ketika menghadapi kecemasan, tunjukcara asas menahan kesakitan, pendarahan, membalut luka, mengurangkan kesan kesakitan akibat patah tulang, melecur dan sebagainya.
PEGAWAI Pentadbir Tingkat Khas, Jabatan Belia dan Sukan, semasa bergambar ramai bersama para peserta Program Kursus Asas Pertolongan Cemas (First Aids) Daerah Tutong Tahun 2012.

Selain itu, para peserta juga diberi peluang membuat praktikal asas-asas pertolongan bagi memastikan mereka benar-benar memahami apa yang diajarkan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil-sijil kepada para peserta ialah Pegawai Pentadbir Tingkat Khas JBS, Pengiran Mohd. Amirizal bin Pengiran Haji Mahmud.
(Berita dan Foto : Aryentty Haji Ariffin)

Pelita Brunei Online - 01 Febuari 2012

Tiada ulasan: