PBSM NBD Slideshow

Selasa, 5 Oktober 2010

Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Bulan Sabit Merah NBD

Oleh Imelda Farrah Zohre HA


Naib Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah NBD (tengah) ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri itu.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Daerah Brunei Muara menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Setia Negara, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas, di sini, hari ini.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bertemakan "Rumah Terbuka Persatuan Bulan Sabit Merah" itu adalah yang pertama kalinya diadakan melibatkan semua peringkat Persatuan Bulan Sabit Merah dari ke empat-empat daerah termasuk peringkat kebangsaan dan dijangka akan menjadikan projek seumpamanya sebagai projek tahunan.

Antara lain sambutan itu diadakan ialah untuk mengumpulkan semua warga Persatuan Bulan Sabit Merah yang sudah lama bergiat mahupun yang baru bergiat dari semua peringkat untuk saling kenal mengenali dan beramah mesra bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta memupuk semangat bersatu padu, bekerjasama dan melahirkan sifat kekeluargaan di dalam berpersatuan.

Sambutan juga diselajurkan dengan majlis doa kesyukuran di atas terlaksananya dan berjalan lancarnya aktiviti-aktiviti yang telah pun dijalankan sepanjang bulan Ramadan termasuklah penyertaan persatuan memberi bantuan kepada pihak EMAS Hospital RIPAS dalam beberapa acara seperti Majlis Kurnia Peribadi Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah sempena Hari Raya Aidilfitri 2010 di keempat-empat daerah serta Sambutan Junjung Ziarah Hari Raya di Istana Nurul Iman pada tahun ini dengan memberikan khidmat sukarela yang murni demi agama, bangsa dan negara.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Naib Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, Datin Hajah Siti Hajah POKSS DP Haji Mohd Yusof.

-Media Permata Online - 4 Oktober 2010.



Tiada ulasan: