PBSM NBD Slideshow

Selasa, 29 Mei 2012

Aktiviti Menarik Sempena The Run



BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Bagi memberi kelainan dalam mengutip dana tahun ini, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam akan mengadakan larian amal dipanggil  The Run” yang akan diadakan pada 24 Jun ini.
                Acara larian amal yang membawa tema “Setiap Langkah Penting” (Where Every Steps Matters) itu akan diadakan di Waterfront di ibu kota.
                Selain daripada larian amal berkenaan, pusat berkenaan juga akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik selama tiga hari menjelang larian berkenaan bermula 22 Jun yang juga akan diadakan di Waterfront.

                Pengerusi larian amal berkenaan, Raja Segaran semasa sidang media di Waterfront hari ini berkata, acara yang akan berjalan selama tiga hari itu akan menjanjikan pelbagai keseronokan dan kesedaran untuk semua, bermula 22 Jun.

                Pada 23 Jun, Majlis Pelancaran Jerayawara Kebudayaan Brunei juga akan diadakan dengan persembahan oleh pelajar-pelajar dan sukarelawan dari pusat berkenaan.

                Raja Segaran menjelaskan larian amal berkenaan akan dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk Separa Maraton 21km bagi kategori umum, kategori terbuka lelaki dan wanita serta warga emas  12km dan pelajar serta larian ria berkeluarga sejauh 5km.  Manakala kategori larian 2km disediakan bagi penderita paraplegic dan orang berkeperluan khas.

                Bayaran pendaftaran bagi separa marathon ialah $40 manakala kategori terbuka 12km $30.  Bagi kategori pelajar dan larian ria berkeluarga pula, $25 bagi pelajar dan$20 bagi keluarga.

                Orang ramai juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dan cabutan bertuah pada larian itu nanti.

                Peserta yang mendaftar sebelum 12 Mei juga akan berpeluang untuk memenangi iPad atau TV LED dalam cabutan bertuah amal istimewa.

                Borang penyertaan boleh didapati secara online dengan hanya melayari www.therun.com.bn.

                Penghantaran borang pembayaran boleh dibuat melalui Mesin Deposit Bank Islam Brunei Darussalam ke nama akaun: Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam nombor akaun: 00-015-01-00991192.

                Peserta juga boleh menghantar ke Pejabat Pusat Ehsan  beralamat Simpang 66-41-60, Kampong Bengkurong, Mukim Kilanas, BF1382 atau di cawangan Kuala Belait di No 275, Simpang 141, Bangunan Banglow, Kelas B, Jalan Maulana, Kuala Belait atau menghubungi Fitness Zone di talian 2443488, 2444894, 2233333 dan 2223338.

                Turut hadir pada sidang media itu ialah Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Awang Haji Mohd Alimin Haji Abdul Wahab selaku Penasihat dan Pengerusi Bersama The Run, Aaron Goh.


- Media Permata. Jumaat, 13 April 2012.




PBSM NBD SOKONG THE RUN

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Berikutan dengan acara larian amal yang dipanggil  The Run” yang mana acara kemuncaknya akan diadakan pada 8 Julai ini, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam melalui Cawangan Brunei-Muara telah menyokong secara rasmi usaha Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam berkenaan bagi mengutip dana pusat berkenaan bagi tahun ini.

                PBSM NBD khususnya dari Cawangan Daerah Brunei-Muara akan turut serta di sepanjang acara dijalankan bagi memberikan bantuan dari segi tenaga dan teknikal khususnya dalam kerja-kerja kesukarelawan, keselamatan dan pertolongan cemas serta lain-lain.

“Setiap Langkah Penting”

Selasa, 22 Mei 2012

Guru pengawas pemimpin utama pasukan yang dipimpin


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 April. - Guru pengawas merupakan pemimpin utama bagi setiap satu pasukan yang dipimpinnya sementara kemajuan, kedayatahanan setiap pasukan serta minat berterusan ahli-ahlinya adalah bergantung kepada kewibawaan serta daya kreatif guru pengawasnya dalam mengatur kegiatan-kegiatan untuk ahli-ahlinya.

Yang Di-Pertua Persatuan Bulan Sabit Merah, Datin Dayang Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yusof berkata demikian semasa berucap selaku tetamu kehormat dan merasmikan Seminar Kepimpinan Guru Pengawas Persatuan Bulan Sabit Merah.



YANG Di-Pertua Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yusof ketika berucap merasmikan Seminar Kepimpinan Guru Pengawas Unit Sekolah 2012. (Foto : Azmah Hj. Ahad)

"Bagi mencapai hasrat ini maka adalah sangat penting itu bagi seorang guru pengawas atau pemimpin yang dilantik itu adalah seorang yang benar-benar berminat dalam mengikuti kegiatan-kegiatan persatuan tersebut.

Ini adalah supaya mereka yang dilantik itu akan dapat benar-benar menjadi seorang pemimpin yang berwawasan serta sepenuh hati mengakui bahawa mereka adalah seorang Ahli Persatuan Bulan Sabit dan dengan senang hati serta sepenuh hati membimbing anak-anak didiknya bukan semata-mata sebagai seorang pemimpin yang terpaksa berbuat demikiaan," jelasnya pada majlis yang berlangsung di Ruang Legar, Bangunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPK), di sini.

Terdahulu, Ketua Bahagian Pasukan Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, JPK, Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan dalam ucapannya menjelaskan, pendidikan kokurikulum yang dijalankan di luar bilik darjah merupakan pelengkap kepada pendidikan kokurikulum yang formal di mana salah satu daripada asas pembentukan pembelajaran kokurikulum ialah untuk melahirkan pelajar yang berilmu, beriman, berkemahiran dan berkepandaian bukan saja intelek dari segi ilmiah tetapi juga pintar dan bijaksana dalam kerja-kerja kesukarelawanan.

Beliau menambah prinsip dasar JPK yang menjadikan kegiatan dan aktiviti pasukan beruniform sebagai salah satu teras Program Co Curicular Activities (CCA) di sekolah menengah di seluruh negara adalah bertujuan untuk memastikan kelahiran jelama Brunei yang berdisplin, mapan dan berdaya maju dalam menempuh arus cabaran globalisasi menuju aras 2035 dalam mencalak pemimpin yang berjiwa besar.

Ke arah mencapai matlamat tersebut, guru-guru pengawas yang dilantik menjadi pemeduli kepada pasukan-pasukan beruniform tegasnya memainkan peranan yang penting untuk memastikan cakera kepimpinan akan sentiasa proaktif.

Seminar tersebut juga tambahnya mempunyai penanda aras dan sasar tuju untuk memberi kefahaman dan pengetahuan asas berhubung dengan fundamental dan hala tuju persatuan dan pertubuhan tersebut khususnya dan palang Merah Serantau dan antarabangsa.

Seramai 43 peserta terdiri daripada guru-guru pengawas persatuan berkenaan menyertai seminar empat hari bermula hari ini hingga 21 April bertempat di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
 
- Pelita Brunei Online 20 April 2012.