PBSM NBD Slideshow

Sabtu, 19 November 2011

Brunei Darussalam komited manfaatkan potensi belia

(Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman)

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 18 November. - Negara Brunei Darussalam komited dalam memanfaatkan potensi para belia yang merupakan tulang belakang kepada pembangunan dan masa depan negara.

Dalam mencapai hasrat ini, beberapa inisiatif telah dan sedang dijalankan bagi memanfaatkan potensi-potensi para belia di negara ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim semasa merasmikan Mesyuarat Ketua-ketua Pertubuhan Belia Negara Asia Tenggara Ke-9 (9th South East Asia National Societies Youth Directors Meeting) di Radisson Hotel pagi tadi.


PEMANGKU Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim menyampaikan ucapan diteruskan dengan perasmian Mesyuarat SEA National Societies Youth Directors' Meeting. (Foto : Hernie Suliana Hj. Othman)

Menurut Awang Haji Ismail, antara inisiatif tersebut ialah Dasar Pembangunan Sumber Tenaga Manusia untuk menghasilkan rakyat yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi bagi mencapai Wawasan Negara Brunei 2035 yang termasuk penubuhan Dana Sumber Manusia.


Antara lain tambahnya, dana tersebut adalah untuk melaksanakan skim-skim seperti Skim Latihan dan Pekerjaan, Pembangunan Kapasiti Sumber dalam Skim Sektor Swasta dan biasiswa tempatan untuk pendidikan teknikal dan vokasional di Skim Institusi Akademik Swasta.

Di samping itu jelasnya, inisitif lain juga termasuk menggalakkan keusahawanan belia dalam industri kreatif, menggalakkan belia hidup dengan gaya hidup sihat dan melancarkan perkhidmatan perintis yang menekankan mengenai membina daya tahan dan disiplin diri, patriotisme, keusahawanan dan perkhidmatan masyarakat serta melibatkan belia dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kesukarelaan yang seterusnya menjadikan mereka masyarakat yang penyayang.

Beliau penuh yakin dengan pengalaman luas dan rangkaian serantau dan antarabangsa yang dimiliki oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei (BDRCS) akan dapat memainkan peranan utama dalam menjadikan inisiatif ini berjaya.

Sementara itu, Presiden BDRCS, Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yussof dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, mesyuarat ini merupakan program tahunan yang pertama kalinya diadakan di Republik Filipina pada tahun 2003 bertujuan untuk mengukuhkan belia-belia Asia Tenggara dalam proses kepimpinan dan membuat keputusan.

PEMANGKU Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Ismail semasa bergambar ramai bersama para perwakilan pertubuhan kebangsaan Bulan Sabit Merah dari negara-negara Asia Tenggara. (Foto : Hernie Suliana Hj. Othman)

Para belia hari ini jelas beliau adalah aset negara di masa hadapan dan mesyuarat kali ini akan memfokuskan kepada isu-isu antaranya bagi kemapanan rangkaian pemimpin-pemimpin belia Asia Tenggara, belia sebagai ejen perubahan sikap, inisiatif belia global: pengemaskinian dan dasar belia serta belia dan media sosial.

Mesyuarat tiga hari itu disertai oleh perwakilan ketua-ketua Pertubuhan Negara Asia Tenggara dari Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah yang akan bergabung dengan satu matlamat yang sama iaitu bagi mengukuhkan keupayaan para belia dalam proses kepimpinan dan membuat keputusan.

Bertemakan 'Merangsang Belia Bulan Sabit Merah - Menyelamatkan Nyawa, Merubah Minda' (Inspiring RC Youth - saving lives, changing minds), mesyuarat dianjurkan oleh Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Delegasi Pertubuhan Bulan Sabit Merah di Bangkok dan disokong oleh BDRCS.

- Pelita Brunei - Sabtu, 19 November 2011.


Tiada ulasan: