PBSM NBD Slideshow

Sabtu, 19 November 2011

Giat tingkat potensi belia

Oleh Sim Y. H.
Haji Ismail menyatakan bahawa Brunei terus komited untuk merealisasikan potensi sebenar belia negara yang dikenal pasti sebagai tulang belakang pembangunan dan masa depan negara.



Haji Ismail bergambar ramai dengan ketua dan pemimpin Persatuan Kebangsaan Asia Tenggara yang menyertai mesyuarat itu.


BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov - Negara Brunei Darussalam terus komited untuk berusaha meningkatkan potensi belia-belia negara yang dikenal pasti sebagai tulang belakang pembangunan dan masa depan negara.

Di antara inisiatif yang dilaksanakan dan sedang dirangka oleh pihak kerajaan termasuk pelaksanaan dasar Pembangunan
Sumber Manusia untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan berkemahiran untuk mencapai Wawasan Negara 2035 di mana antara usaha itu adalah penubuhan Tabung Sumber Manusia.

Penubuhan tabung itu di antara lain bertujuan untuk melaksanakan pelbagai skim seperti Skim Latihan dan Pekerjaan, Skim Pembangunan Sumber Kapasiti di dalam Sektor Swasta dan Skim Biasiswa Bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Institusi Pendidikan Swasta Tempatan di mana dasar Sumber Pembangunan Manusia itu adalah termasuk bagi semua belia.

Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Ismail Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim ketika berucap di Perasmian Mesyuarat Pengarah Persatuan Belia Kebangsaan Asia Tenggara Ke-9 yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

"Bagi mereka yang tidak dapat menerusi pengajian dalam aliran akademik formal, Pusat Pembangunan Belia akan melatih mereka dengan kemahiran yang diperlukan oleh pasaran."

Beliau juga berkata bahawa dasar Pembangunan Sumber Manusia itu juga merangkumi ideologi Melayu Islam Beraja. Di samping itu lagi, kerajaan terus berusaha untuk menggalakkan keusahawanan di kalangan golongan belia termasuk dalam industri kreatif di mana menerusi Tabung Pembangunan Sumber Manusia, diharap akan dapat mengukuhkan lagi keupayaan perkembangan dan penyelidikan untuk memaksimumkan potensi belia negara dalam bidang kreativiti dan inovasi.

Di samping itu juga, usaha untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat di kalangan belia juga sedang giat dijalankan dan juga akan melancarkan program perantis, perkhidmatan belia kebangsaan yang akan menumpukan kepada pembangunan disiplin diri dan ketahanan, patriotisme, keusahawanan dan perkhidmatan masyarakat.

"Kami berharap untuk melihat belia-belia yang bersemangat tinggi yang berdaya tahan dan yang mampu berhadapan dengan cabaran besar serta kesusahan."

Usaha juga dilaksanakan untuk menggalakkan lebih ramai belia untuk menyumbangkan khidmat bakti secara sukarela dalam kerja-kerja kebajikan supaya akan melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang.

Menyentuh mengenai usaha untuk mempromosikan kerja-kerja sukarela di kalangan belia, Haji Ismail yakin bahawa Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei dengan pengalaman yang luas dan rangkaian serantau dan kebangsaan mampu untuk memainkan peranan yang penting bagi memastikan kejayaan inisiatif berkenaan.

- Media Permata - Sabtu, 19 November 2011.


Tiada ulasan: