PBSM NBD Slideshow

Ahad, 6 November 2011

Wanita tua terabai dibantu

Oleh Hajah Saemah Zulkefli

Dayang Shim Kim Soon hanya bertemankan tiga ekor anjing yang akan menyalak jika sesiapa menghampiri pintu pagar rumah tuannya.

KUALA BELAIT, 6 Nov - Seorang wanita warga emas yang tinggal bersendirian menarik perhatian Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Daerah Belait dan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Daerah Belait telah sama-sama berkunjung untuk meninjau keadaan wanita itu hari ini.

Wanita tersebut Dayang Shim Kim Soon, 83, tinggal di rumahnya di Lot 4017 Simpang 284 Jalan Singa Menteri Kampung Mumong. Selama ini dia tinggal bersendirian dalam keadaan kakinya yang sakit dan hanya bertongkat kayu untuk berjalan, selain kurang jelas penglihatannya.

Semasa kunjungan Pengerusi PBSM cawangan Daerah Belait Awang Chai Yum Fatt bersama dengan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Belait Awang Ahmad bin Kasmani, telah turut menghulurkan sumbangan kepada Dayang Shim Kim Soon berupa makanan asasi daripada JAPEM bagi menampung keperluannya yang hanya menerima pencen usia tua sejumlah $250 sebulan.

Dayang Shim Kim Soon, ketika memberitahu Media Permata berkata, dia sudah bercerai dengan suaminya sejak berusia 20 tahun dan mempunyai seorang anak yang tidak membesar dengannya, tetapi sehingga kini dia tidak pernah dikunjungi anaknya, dan sejak bercerai dia bekerja sebagai buruh di Jabatan Bandaran dan tinggal di Kampung Sampah.

Dengan usahanya menghimpunkan wang gaji, dia akhirnya mampu membina sebuah rumah yang didiami masa ini di atas tanah tumpang sementara.

Rumahnya dalam keadaan berselerak dan tidak mampu membersihnya kerana keadaannya yang uzur.

Beliau yang merupakan penduduk tetap, mengalami sakit kaki dan berjalan menggunakan tongkat. Beliau mendapat perubatan percuma di Kampung Pandan yang merawati penyakit dengan menggunakan katil elektrik.

"Setiap hari Isnin hingga Sabtu, saya berjalan sendiri untuk pergi ke premis tersebut, tetapi jika saya penat, saya akan berhenti dan jika ada orang menumpangkan, saya akan ikut, begitu juga apabila hendak pulang dari sana," katanya.

Dayang Shim Kim Soon, berasal dari China, datang ke negara ini bersama kedua ibu bapanya sejak dia kecil lagi. Setelah kematian kedua ibu bapanya, dia tiada mempunyai sanak saudara lagi di sini.

Selain yang menemaninya pada masa ini ialah tiga ekor anjing yang akan menyalak apabila melihat orang mendekati pagar rumah tuannya itu.

Di samping itu, beliau juga mengusahakan kerja-kerja mengutip tin-tin kosong untuk dijual sebagai menambah pendapatannya yang katanya tidak mencukupi baginya yang juga perlu membayar bil-bil elektrik, air, gas dan sebagainya.

Tin yang dijual hanya dapat menghasilkannya sejumlah tiga sen bagi satu kilogram tin kosong yang kadang-kadang turut disumbangkan oleh jirannya.

Pengerusi PBSM Awang Chai Yum Fatt, pula memberitahu mereka akan membantu wanita itu dalam membersihkan kawasan rumahnya yang sudah berselerak dengan tin-tin kosong bagi menghindari jangkitan penyakit nyamuk aedes dan sebagainya.

- Media Permata - Isnin, 07 November 2011.

Tiada ulasan: