PBSM NBD Slideshow

Rabu, 28 April 2010

Seramai 34 peserta sertai Bengkel Guru-guru Pengawas Pasukan Beruniform

TEMBURONG, Ahad, 25 April. – Jabatan Pendidikan Kokurikulum mengelolakan Bengkel dan Perkhemahan Guru-guru Pengawas Pasukan Beruniform Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara selama tiga hari.

Bengkel yang disertai 34 peserta itu bertujuan bagi memberi kefahaman kepada guru-guru pengawas tentang peranan, tugas dan tanggungjawab, berakhir dengan penyampaian sijil kepada para peserta, disampaikan oleh Pegawai Daerah Temburong, Awang Matussin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba, di Sekolah Rendah Sultan Hassan Bangar, di sini.


PEGAWAI Daerah Temburong, Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba menyampaikan sijil kepada peserta Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei yang menyertai Bengkel dan Perkhemahan Guru-guru Pengawas Pasukan Beruniform Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara.

Sejumlah enam buah pasukan beruniform yang terdiri dari Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah menyertai bengkel yang diungkayahkan oleh Bahagian Beruniform, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

Semasa bengkel diadakan, para peserta melaksanakan beberapa aktiviti antaranya melawat Kampung Belingus, mendaki Bukit Patoi, melawat ke Ulu Belalong dan mendengarkan ceramah mengenai pengurusan masa yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Temburong.



PEGAWAI Daerah Temburong, Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba menyampaikan sijil kepada peserta Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat dan Pasukan Pengakap yang menyertai Bengkel dan Perkhemahan Guru-guru Pengawas Pasukan Beruniform Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara.

Dengan adanya bengkel seumpamanya akan membolehkan para guru pengawas memimpin ahli-ahli pasukan masing dengan lebih teratur, berdisiplin dan berwawasan.

Melalui bengkel juga dapat mewujudkan sikap bertoleransi dan pemedulian antara pasukan yang lain serta dapat mengeratkan silaturahim di kalangan para guru pengawas dan pasukan-pasukan beruniform.

(Berita dan Foto : Nurhidayah Haji Kamis)

Pelita Brunei Online - 25 April 2010

Tiada ulasan: