PBSM NBD Slideshow

Ahad, 12 Disember 2010

Kursus Bantuan Kecemasan tingkat pengetahuan peserta

Oleh Hajah Saemah Zulkefli

KUALA BELAIT, Khamis - Sebagai menambahkan lagi kesedaran tentang pentingnya memberikan bantuan kecemasan dan menyelamatkan nyawa kepada mereka yang memerlukan, Persatuan Bulan Sabit Merah Belait dengan kerjasama Hospital Suri Seri Begawan Belait menganjurkan Kursus Bantuan Kecemasan selama dua hari bertempat di Unit Kakitangan Pembangunan Profesional hospital berkenaan dekat sini.

Kursus tersebut telah disertai oleh guru-guru daripada sekolah-sekolah kerajaan dan bukan kerajaan serta ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah daerah ini. Guru-guru yang dilibatkan dalam kursus tersebut adalah di kalangan ketua-ketua Persatuan Bulan Sabit Merah yang ditubuhkan di sekolah-sekolah seperti Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin, Sekolah Menengah Perdana Wazir, Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah Lumut dan Sekolah Chung Lian.

Pada hari pertama kursus tersebut para peserta telah diperkenalkan dengan kursus-kursus bantuan kecemasan dan juga telah diberikan taklimat penerangan mengenainya. Selain mereka juga telah diberikan latihan praktikal memberikan bantuan kecemasan kepada orang-orang yang pengsan atau mengalami kecederaan.

Di samping itu para peserta juga turut diajarkan tentang teknik-teknik yang betul mengikatkan kain pembalut, dan juga cara memposisikan badan orang yang mendapat kecederaan dan sebagainya.

Kursus dua hari itu telah dikendalikan oleh empat orang pengajar dan dua orang penyelaras dan telah berakhir hari ini dengan penyampaian sijil penyertaan.

- Media Permata Online - Jumaat, 10 Disember 2010.


Tiada ulasan: