PBSM NBD Slideshow

Selasa, 27 September 2011

Persatuan Bulan Sabit Belait anjur Gerak Sihat

Oleh Hajah Saemah Zulkefli

Penyampaian sijil lantikan Penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Daerah Belait kepada Pengerusi Lembaga Bandaran Awang Haji Mohd Ishak bin Haji Abu Hanifah daripada Pengerusi PBSM Awang Chai Yum Fatt.

KUALA BELAIT, 25 Sept- Lebih 50 ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Daerah Belait diketuai Pengerusinya, Awang Chai Yum Fatt telah menyertai program Gerak Sihat di kawasan Taman Persiaran hari ini.

Turut menyertainya ialah Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria Awang Sarih Tabong.

Program Gerak Sihat anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah dengan kerjasama Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria merupakan satu aktiviti senaman ringan yang dilakukan setiap penghujung minggu dan turut dibukakan untuk penyertaan orang ramai.

Program yang dilancarkan hari ini oleh Awang Sarih Tabong bermula pukul 7:30 pagi selama dua jam dan akan membawa orang ramai yang menyertai bersenam ringan melalui gerak sihat Tai chi, Yuan ji dan Belait Walk Out terutama sekali difokuskan kepada kalangan warga emas yang ingin terus hidup sihat dan cergas.

Mengetuai gerak sihat, Dayang Chan Lai Miew iaitu Ketua Unit Kebudayaan dan Kesenian Persatuan Bulan Sabit Merah. Beliau merupakan jurulatih dalam pergerakan-pergerakan senaman tersebut yang turut membuat latihan di kawasan ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah setiap hari Jumaat.

Menurut Awang Sarih, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria memberikan sokongan sepenuhnya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah yang mempunyai inisiatif untuk menggerakkan program kesihatan tersebut setiap penghujung minggu, selain untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjaga kesihatan sepanjang masa, dan aktiviti seperti itu juga turut meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menambah ceriakan lagi keadaan kawasan Pekan Belait, terutama sekali Taman Persiaran supaya ia sentiasa diguna pakai ke arah kegiatan atau aktiviti yang bermanfaat dan tidak hanya tinggal terbiar begitu sahaja.

Program tersebut berkesinambungan dengan pelantikan Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria Awang Haji Mohd Ishak Haji Abu Hanifah sebagai salah seorang Penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Daerah Belait.

- Media Permata - Isnin, 26 September 2011.


Tiada ulasan: