PBSM NBD Slideshow

Selasa, 11 Oktober 2011

Program hilangkan bosan warga emas

Oleh Hajah Saemah Zulkefli



Rombongan PBSM Daerah Belait ketika mengadakan kunjungan ke Rumah Orang Tua di Seria.

SERIA, 9 Okt - Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cawangan Daerah Belait meneruskan lagi program kemasyarakatan mereka dengan mengadakan lawatan ke Rumah Kediaman Orang Tua dekat sini, hari ini.

Ketika kunjungan, rombongan diketuai Pengerusi PBSM cawangan Daerah Belait, Awang Chai Yum Fatt dialu-alukan pengerusi Rumah Orang Tua berkenaan, Awang David Teo Kian Khong.

Antara lain kunjungan bertujuan meninjau dan mengenal pasti keperluan rumah orang tua dan dalam masa yang sama PBSM akan menyusun program jangka panjang masa akan datang yang bersesuaian dengan keadaan penghuni rumah itu.

Menurut Penolong Pengerusi PBSM cawangan Daerah Belait, Awang Haji Ismail Kassim, antara program yang dijangka akan disusun di rumah itu adalah seperti mengajak warga emas di sana melakukan sesuatu dan mengelakkan mereka daripada hanya duduk diam seperti sekarang ini dan merasa sangat bosan.

Sehubungan itu, antara program yang dirancang adalah seperti memberikan mereka latihan ringan membuat kraf tangan, berkebun dan sesi rawatan sebagai kegiatan yang boleh menjadikan mereka ceria dan merasa tidak tersisih serta merasa dikasihi oleh masyarakat.

Matlamat PBSM cawangan Daerah Belait kini adalah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JAPEM) dan agensi-agensi kerajaan yang lainnya untuk terus melaksanakan kegiatan sukarelawan membantu masyarakat termasuklah orang kurang berkemampuan, dan warga emas serta pelajar yang tidak berkemampuan di kawasan dalam dan luar bandar.

Awang Yum Fatt pula memberitahu, persatuan itu setakat ini, sudah melaksanakan program membuat kunjungan hormat ke rumah-rumah penghulu di daerah ini, dan ia itu akan diteruskan dengan kunjungan ke rumah ketua kampung.

Kunjungan akan dibuat bersama JAPEM untuk mendengar dan berkongsi sama dengan pemimpin akar umbi di mukim dan kampung tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk di setiap mukim dan kampung.

Menurutnya, PBSM Daerah Belait dengan kerjasama JAPEM akan sentiasa memberikan sokongan ke arah melaksanakan kerja-kerja sukarelawan membantu masyarakat yang memerlukan termasuklah menghulurkan bantuan jika diperlukan.

Di samping itu, katanya, PBSM cawangan Daerah Belait juga sedang aktif pada masa ini menjayakan program berterusan setiap penghujung minggu dalam Gerak Sihat di kawasan Taman Persisiran Sungai, bekerjasama dengan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, serta mengadakan latihan kecemasan sejak bulan lalu dan akan diteruskan lagi pada pertengahan bulan ini melibatkan lebih 50 peserta di kalangan peniaga gerai dan kedai di pekan Belait dan Seria.


- Media Permata Online - 10 Oktober 2011


Tiada ulasan: