PBSM NBD Slideshow

Sabtu, 17 November 2012

PBSM lancar program ikrar di Belait

Oleh Hajah Saemah Zulkefli


Bergambar ramai di kalangan ahli-ahli PBSM cawangan Daerah Brunei Muara dan cawangan Daerah Belait serta co-campaigner program dan tetamu kehormat.




Penyerahan kain rentang Ikrar Kesedaran Keselamatan Jalan Raya daripada Pengerusi PBSM cawangan Daerah Brunei Muara Awang Haji Morni bin Haji Awang Damit (kanan) kepada tetamu kehormat.


KUALA BELAIT, 13 Nov - Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cawangan Daerah Brunei Muara dengan kerjasama PBSM cawangan Daerah Belait telah menganjurkan Majlis Pelancaran Program Ikrar Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Daerah Belait yang diadakan di Dewan Bandaran dekat sini hari ini.
 
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Haji Ishak Haji Hanifah selaku Penasihat PBSM cawangan Daerah Belait.
 
Majlis tersebut telah menyaksikan penyerahan kain rentang keselamatan jalan raya dan ikrar kesedaran keselamatan jalan raya daripada Pengerusi PBSM cawangan Daerah Brunei Muara, Awang Haji Morni Haji Awang Damit kepada tetamu kehormat.
 
Sebagai inisiatif PBSM bagi memberikan kesedaran betapa pentingnya keselamatan jalan raya sejumlah 150 keping kad ikrar Keselamatan Jalan raya akan diagih-agihkan ke sekolah-sekolah di daerah ini bersempena dengan pelancaran tersebut.
 
Sehubungan itu majlis hari ini juga telah diteruskan dengan penyerahan kad ikrar keselamatan jalan raya oleh Co-Campaigner Insuran Islam Taib kepada Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria yang kemudiannya menyerahkan kepada Pengerusi PBSM cawangan Belait, Awang Chai Yun Fatt.
 
Acara kemudiannya diteruskan dengan pendaftaran online ikrar ke laman sesawang www.bruneiredcrescent.com/roadsafetypledge oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, serta ahli-ahli PBSM yang didahului oleh tetamu kehormat.
 
Majlis diakhiri dengan penyampaian taklimat mengenai Program Ikrar Kesedaran Keselamatan Jalan Raya, yang merupakan salah satu program antarabangsa yang telah diperkenalkan oleh Federasi Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Dunia lima tahun yang lalu.
 
Program ini adalah bagi sama-sama memainkan peranan yang penting bagi menggalas tanggungjawab dalam memberikan pengetahuan terhadap kesan akibat kemalangan jalan raya.
 
Bagi PBSM Brunei program tersebut diwujudkan untuk mencambahkan budaya beringat-ingat akan keselamatan di jalan raya di samping sasaran kepada pelajar sekolah supaya akan dapat dijadikan agen kepada pemantauan jangan mengambil risiko apabila memandu di jalan raya, dan seterusnya menghormati pengguna jalan raya lain demi mengelakkan terjadinya kemalangan yang bukan saja boleh membahayakan, mencederakan dan merugikan dari segi material tetapi juga boleh mengakibatkan kematian.
 
Program menyasarkan pelajar sekolah khususnya, kerana unit sekolah PBSM memainkan peranan penting dalam memantau program tersebut di setiap sekolah, di samping menjadikan ahli-ahli PBSM unit sekolah sebagai rakan sebaya bagi mengujudkan satu komuniti belia yang sentiasa peka terhadap keselamatan jalan raya yang dihasratkan untuk membentuk satu masyarakat yang mempunyai budaya beringat-ingat di jalan raya.
 
Media Permata Online - Rabu, 14 November 2012.
 

Tiada ulasan: