PBSM NBD Slideshow

Sabtu, 8 Ogos 2009

60 Peserta Terima Sijil Bantuan Kecemasan

KUALA BELAIT, Isnin, 12 Januari. -Seramai 60 peserta terdiri daripada pelajar Pra Universiti dan Menengah Atas Sekolah Menengah Sayyidina Ali menerima sijil kursus latihan bantuan kecemasan bagi sekolah berkenaan.
Para peserta yang mengikuti kursus latihan selama tiga hari bermula pada 17 November tahun lepas itu terdiri dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Badan Prefek, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Penyampaian sijil kepada 20 peserta MPP disempurnakan oleh tetamu kehormat, Timbalan Pengarah Daerah PBSM Cawangan Kuala Belait, Awang Haji Pungut bin Haji Awang Damit yang diadakan di Dewan Sekolah berkenaan.
Sementara 25 peserta Badan Prefek menerima sijil mereka yang disampaikan oleh Pegawai Latihan dan Perkembangan Kebangsaan PBSM, Jimmy Foo dan 15 peserta PRS, PBSM dan guru-guru disampaikan oleh pengetua sekolah tersebut, Cheong Huat Joo.
Tetamu kehormat dalam ucapannya antara lain menerangkan bahawa pengertian pertolongan cemas bermaksud pertolongan yang diberikan kepada seseorang yang tercedera atau sakit secara tiba-tiba sebelum datang seorang pakar atau doktor.
“Pertolongan cemas amat perlu dipelajari oleh setiap individu kerana ia boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Dengan menyertai kursus tersebut para peserta telah berbakti kepada masyarakat dan negara kerana kecemasan boleh berlaku di mana sahaja sama ada ada di sekolah, pejabat, rumah atau jalan raya”, ujarnya.
Beliau juga menggesa para peserta supaya mengimplementasikan segala yang diajarkan walaupun hanya membalut luka yang kecil atau menyelamatkan nyawa orang yang hampir lemas atau sakit jantung dengan menggunakan teknik CPR atau menyelamatkan mangsa dalam kemalangan jalan raya.
Kursus antara lain bertujuan bagi menimba ilmu pengetahuan tentang bantuan kecemasan yang boleh membantu individu di dalam kehidupan seharian termasuk masyarakat, memupuk minat pelajar dalam kegiatan bidang penyelamat dan memberikan pelajar pendedahan kepada kerjaya paramedik dan aktiviti yang berhubung kait dengan PBSM. P> (Berita dan foto : Dk. Hjh. Saidah Pg. Omaralli<)
TIMBALAN Pengarah Daerah Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Kuala Belait, Awang Haji Pungut Haji Awang Damit menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menyertai kursus tersebut.

Tiada ulasan: