PBSM NBD Slideshow

Jumaat, 13 November 2009

MENGHADAPI KEMALANGAN JALAN RAYA

(Sempena Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalanraya Sedunia 2009)

14 November pada setiap tahun dijadikan sebagai Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Sedunia. Tidak terkecuali Negara Brunei Darussalam di mana kematian akibat dari kemalangan jalan raya merupakan faktor kematian yang kelapan dari sepuluh faktor kematian utama. Di dalam post kali ini, blog bruneiredcrescentsociety@blogspot.com mengongsikan satu tajuk tentang tindakan yang perlu awda buat ketika menghadapi satu kemalangan jalan raya.

Apabila awda menyaksikan kemalangan jalan raya, perkara pertama yang perlu diingat ialah jangan membahayakan diri awda semasa cuba menghulurkan pertolongan. Jika awda sedang memandu, jangan memberhentikan kereta secara mengejut kerana ianya boleh menyebabkan rantaian kemalangan jalan raya yang lain pula berlaku.

Jika mangsa perlu ditolong dan awda pula hendak memberhentikan kereta maka hendaklah mengikut tertiban perkara berikut:
- Pasangkan lampu kecemasan
- Perlahankan kereta
- Apabila kereta yang berada di belakang awda memperlahankan atau memberhentikan keretanya pada jarak selamat iaitu sekurang-kurangnya dalam jarak 2 buah kereta maka bolehlah awda memberhentikan kereta awda untuk memberikan pertolongan. Biarkan lampu kecemasan kereta dipasang.

Jangan gerakkan mangsa kemalangan kecuali jika benar-benar perlu. Biarkan mereka yang mahir untuk mengendalikannya. Bagaimanapun jika mangsa di dalam keadaan bahaya yang boleh menyebabkan kecederaan seterusnya, ambillah langkah-langkah yang perlu dan alihkan mangsa ke tempat yang selamat dengan berhati-hati. Kemudian lakukanlah perkara-perkara berikut:

1. Dapatkan mereka yang sedang melalui tempat tersebut supaya memberitahu pengguna lain yang sedang menuju ke tempat kemalangan
2. Minta bantuan seseorang untuk menelefon ambulans (991)
3. Jangan menarik keluar mangsa daripada kereta kerana ini akan menyebabkan kecederaan seterusnya.
4. Matikan enjin kereta dan putuskan aliran bateri
5. Jangan gerakkan kereta.
6. Lihat bahagian dalam dan sekeliling kereta untuk mencari bayi atau kanak-kanak
7. Berikan pertolongan cemas jika perlu dan hantarkan ke hospital dengan segera.
Pandulah dengan berhati-hati, kenderaan adalah alat untuk ke sana dan ke mari bukan untuk berlumba dan jalanraya bukanlah tempat perlumbaan.

Tiada ulasan: