PBSM NBD Slideshow

Selasa, 23 Februari 2010

PERTUBUHAN BULAN SABIT MERAH SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH DAN MAKTAB-MAKTAB NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Pengenalan

Aktiviti Bulan Sabit Merah mula diadakan di sekolah-sekolah menengah dan maktab hampir 40 tahun yang lalu. Pada peringkat awal, ianya dikenali sebagai Palang Merah dan setakat ini tidak diketahui bilakah aktiviti ini diperkenalkan ke sekolah-sekolah. Ketika itu, ianya adalah di bawah seliaan Bahagian Kegiatan Luar, Jabatan Pelajaran Negeri Brunei.

Bagi membezakan dengan persatuan peringkat daerah, Bulan Sabit Merah di sekolah-sekolah dan maktab dikenali sebagai Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan menggunakan unit sebagai tanda pengenalan.

Sekarang, Pertubuhan Bulan Sabit Merah di Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab adalah salah satu kegiatan beruniform yang dikelolakan oleh Bahagian Unit Beruniform, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam dan merupakan salah satu daripada enam pasukan beruniform. Ianya adalah sebagai satu usaha bagi memperkenalkan kepada pelajar tentang Persatuan Bulan Sabit Merah serta kegiatan-kegiatan kesukarelawan yang dijalankannya.

Walaupun secara tradisinya, hanya institusi pendidikan yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan yang menubuhkan pasukan ini namun terdapat juga institusi pendidikan di kementerian lain khususnya Kementerian Hal Ehwal Ugama yang menubuhkan pasukan ini seperti Ma’ahad Islam Brunei dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit serta akan dilaratkan ke sekolah-sekolah yang lain.

Lazimnya, sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab di negara ini akan membukakan keahlian pada bulan Januari setiap tahun. Sebelum itu sekurang-kurangnya seorang guru pengawas akan dilantik bagi mengawasi pertubuhan tersebut.

Bagi memudahkan menjalani latihan, unit-unit pertubuhan sekolah turut diletakkan di bawah Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Daerah masing-masing iaitu:

1. PBSM NBD Cawangan Daerah Brunei-Muara
2. PBSM NBD Cawangan Daerah Belait
3. PBSM NBD Cawangan Daerah Tutong
4. PBSM NBD Cawangan Daerah Temburong

Peranan Guru Pengawas

Kemajuan dan perkembangan sesebuah unit adalah bergantung kepada guru pengawas. Kewajipan utama para pengawas belia-belia Bulan Sabit Merah ialah:

- menjadi pemimpin dan penasihat kepada unit kerana ahli-ahli sendiri yang akan menyelenggara pasukan masing-masing agar mereka mempunyai rasa tanggungjawab dan sekaligus mendorong ahli-ahli pasukan tersebut ke arah kepimpinan
- memimpin ahli-ahli belia BSM supaya acara-acara kegiatan BSM dapat berjalan lancar
- memilih rancangan kegiatan yang dapat mereka sesuaikan dengan matapelajaran yang mereka berikan

Keahlian Pasukan

Keahlian pasukan tidak dihadkan. Semua pelajar-pelajar yang berminat sama ada di sekolah rendah ataupun di sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab yang berminat adalah digalakkan untuk menyertainya. Bagaimanapun syarat-syarat berikut mestilah dipenuhi:

1. Sekolah di mana tempat belajar mestilah mempunyai pasukan Bulan Sabit Merah.

2. Mestilah masih bersekolah di sekolah berkenaan.

3. Bersedia untuk memberikan perkhidmatan bila-bila diperlukan.

4. Bayaran keahlian adalah sebanyak $2.00 untuk setahun.

5. Sekolah mestilah mempunyai guru pengawas yang terdiri daripada guru sekolah itu sendiri.

6. Mestilah terlebih dahulu mendapat kebenaran / pengesahan daripada ibu bapa / penjaga untuk menjadi ahli.

Selain daripada itu, pelajar-pelajar yang ingin menyertai pasukan ini hendaklah tidak menyertai mana-mana pasukan beruniform yang lain kerana hanya satu sahaja kegiatan pasukan beruniform yang dibenarkan untuk diikuti.
Unit-unit Pertubuhan

Di antara unit-unit pertubuhan yang sedia ada ialah:

1. Sekolah Menengah Berakas – Unit I
2. Sekolah Menengah Sultan Mohammad Jamalul Alam – Unit II
3. Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri – Unit III
4. Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien – Unit IV
5. Sekolah Saint Andrew – Unit V
6. Sekolah Saint George – Unit VI
7. Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar – Unit VII
8. Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam – Unit VIII
9. Sekolah Menengah Ma’ahad Islam Brunei – Unit IX
10. Sekolah Menengah Awang Semaun – Unit X
11. Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja – Unit XI
12. Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab – Unit XII
13. Sekolah Menengah Sayyidina Husain – Unit XIII
14. Sekolah Menengah Sayyidina Hasan – Unit XIV
15. Sekolah Menengah Menglait – Unit XV
16. Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali – Unit XVI
17. Sekolah Menengah Chung Hwa – Unit XVII
18. Sekolah Menengah Rimba – Unit XVIII
19. Sekolah Menengah Pg. Anak Puteri Masna – Unit XIX
20. Unit Sekolah Menengah Sufri Bolkiah
21. Unit Sekolah Menengah Sayyidina Othman
22. Unit Sekolah Menengah Sayyidina Ali
23. Unit Sekolah Menengah Sultan Hasan


Syarat-Syarat Penubuhan Unit Baru

1. Memohon kepada ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah untuk menubuhkan pasukan di sekolah masing-masing melalui pengetua dan dipanjangkan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum

2. Mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru pengawas yang dilantik oleh pihak pentadbiran sekolah

3. Mempunyai tidak kurang dari 30 orang pelajar yang mahu mendaftar untuk menjadi Ahli. Senarai nama dan tahun pelajar hendaklah disertakan.

Penubuhan boleh dilakukan setelah mendapat kelulusan dari pihak Pengarah.

Bagi pertubuhan yang sedia ada, guru-guru pengawas hendaklah mendaftarkan semula keahlian pertubuhan mereka ke pihak Pengarah sebelum akhir bulan Januari pada setiap tahun.

Pakaian Ahli

Peruntukan kain bagi pakaian seragam ahli sebelum ini disediakan oleh Bahagian Unit Beruniform, Jabatan Pendidikan Kokurikulum yang mana guru pengawas perlu memohon melalui pengetua sekolah masing-masing. Manakala perbelanjaan bagi pembuatan baju ditanggung oleh ahli itu sendiri. Manakala guru pengawas hendaklah mengutamakan ahli terlebih dahulu dari diri sendiri di dalam pengagihan kain pakaian seragam berkenaan.

Walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada peruntukan itu masih ada atau tidak. Untuk kepastian, guru-guru pengawas pertubuhan bolehlah menghubungi Bahagian Unit Beruniform JPKK atau melalui http://jpkk.blogspot.com/

Tiada ulasan: