PBSM NBD Slideshow

Ahad, 18 Julai 2010

Menyertai Istiadat Perbarisan Kehormat Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Ke 64

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Julai – Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD) hari ini telah menyertai Istiadat Perbarisan Kehormat Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Kali Ke 64. Istiadat perbarisan bermula pada jam 7:30 pagi di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien.

Pada jam 8:00 pagi, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tiba di Pentas Diraja dan berkenan menerima tabik hormat dari Barisan Kawalan Kehormat terdiri dari anggota Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei. Tabik hormat diringi dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan tembakan meriam sebanyak 21 das.



Selesai menerima tabik hormat, baginda dijunjung bagi memeriksa perbarisan Kawalan Kehormat dan seterusnya menaiki kenderaan khas mengelilingi Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien bagi menerima tabik hormat dari pertubuhan-pertubuhan awam termasuk PBSM NBD.




Baginda kemudiannya menaiki Pentas Diraja semula bagi memerhati perbarisan lalu oleh pasukan Kawalan Kehormat dalam masa perlahan dan cepat jalan. Setelah Kawalan Kehormat berada di tempat asal, semua pasukan melaungkan perkataan "Daulat!" sebanyak tiga kali yang diketuai oleh Ketua Pegawai Pemerintah Perbarisan. Istiadat berakhir dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan serentak dengan persembahan terbang lalu dari pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Brunei sebelum KDYMM berangkat meninggalkan Pentas Diraja.




Selain mengikuti perbarisan kehormat, sebahagian ahli PBSM NBD turut bertugas di khemah perubatan dan di sepanjang Jalan Tutong bermula dari Istana Nurul Iman sehingga ke Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.



- Sumber Gambar - www.infofoto.org.bn

Tiada ulasan: