PBSM NBD Slideshow

Khamis, 2 September 2010

Majlis Tadarus Al-Quran belia senegara

Oleh Hasrulraizan dan Ak Fairol RMF



Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim semalam berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia 1431 Hijrah anjuran Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Menjunjung keberangkatan tiba Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pehin Dato Paduka Haji Hazair Haji Abdullah.





Turut hadir sama ialah Menteri Pendidikan, Pehin Dato Seri Setia (Dr) Haji Abu Bakar Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Badaruddin Haji Othman. - Gambar oleh Infofoto




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia 1431 Hijrah yang dikelolakan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan berlangsung hari ini telah diserikan lagi dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.

Menjunjung keberangkatan tiba Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pehin Dato Paduka Haji Hazair Haji Abdullah.

Turut hadir sama ialah Menteri Pendidikan, Pehin Dato Seri Setia (Dr) Haji Abu Bakar Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Badaruddin Haji Othman.

Dalam ucapannya Pehin Dato Paduka Haji Hazair berkata, hasrat tujuan utama majlis ialah melihat generasi Al-Quran itu dikongsi sama oleh semua pihak dan golongan, terutamanya golongan belia.

"Kita akan merasa bangga dengan lahirnya belia-belia yang berwatak salih, bahawa salah satu tanda kesalihan itu ialah keterlibatan mereka dengan Al-Quran sama ada selaku pembaca biasa, mahupun sekali gus menjadi penghayat dan pengamal ajaran-ajarannya,"ujar beliau.

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Tadarus Al-Quran secara halaqah oleh golongan belia terdiri daripada kalangan ahli beberapa buah persatuan belia di Negara ini.

Penceramah daripada Pusat Da'wah Islamiah, Haji Mail Besar kemudiannya mengajak para belia untuk membina jiwa mereka sebesar mungkin melalui sebuah Ceramah Motivasi Keagamaan yang beliau sampaikan bertajuk "Belia Berjiwa Besar".

Selesai mendengarkan ceramah yang mengobarkan semangat para belia itu, Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Ayat-ayat Lazim, Takhtim, Doa Khatam dan Dikir Marhaban.

Majlis anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan itu telah ditutup dengan sekalian yang hadir mendirikan Solat Fardu Zohor secara berjemaah.

Majlis tersebut julung-julung kali diadakan bersempena sambutan bulan Ramadan yang melibatkan 3,000 hingga 5,000 orang belia terdiri daripada Institusi-institusi Pengajian Tinggi, Maktab-maktab, Sekolah-sekolah menengah, persatuan belia dan sukan, persatuan beruniform dan belia-belia secara amnya.

Tujuan Majlis Perhimpunan diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman belia tentang kepentingan membaca dan menghayati Al-Quran sebagai panduan hidup serta untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara agensi-agensi terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia dan juga untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran di samping untuk menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan.



Haji Mail Besar mengajak para belia untuk membina jiwa mereka sebesar mungkin melalui sebuah Ceramah Motivasi Keagamaan.







Antara belia yang hadir di Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia 1431 Hijrah.


- Media Permata. Khamis 2 September 2010.

Tiada ulasan: