PBSM NBD Slideshow

Khamis, 25 Mac 2010

Kementerian Pendidikan sasarkan 9,000 pelajar terlibat dalam pasukan-pasukan beruniform di seluruh negara


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 19 Mac. – Kementerian Pendidikan menjangkakan statistik bagi tahun 2010 ini akan mencapai target KPI (Key Performance Indicator) 2010-2011 yang menyasarkan seramai 9,000 pelajar terlibat dalam pasukan-pasukan beruniform di semua sekolah menengah dan rendah kerajaan serta swasta di seluruh negara.

Menurut Ketua Bahagian Pasukan Beruniform, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan, statistic tahun 2009 menunjukkan seramai 7,664 pelajar telah melibatkan diri dalam kegiatan pasukan-pasukan beruniform melalui sekolah-sekolah masing-masing.


KETUA Bahagian Pasukan Beruniform, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan semasa berucap di Majlis Pembukaan Rasmi Perkhemahan Pasukan-Pasukan Beruniform Sekolah-Sekolah dan Maktab-Maktab Seluruh Negara dan Majlis Forum. (Foto : Abdul Kadir Mohd. Tahir)

Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak khususnya pengetua-pengetua dan guru-guru besar agar dapat memberikan kerjasama kepada pihak Jabatan Pendidikan Kokurikulum dalam usaha untuk mendapatkan statistik pasukan beruniform masing-masing.

Beliau menjelaskan perkara itu semasa berucap di Majlis Pembukaan Rasmi Perkhemahan Pasukan-pasukan Beruniform Sekolah-sekolah dan Maktab-maktab Seluruh Negara dan Majlis Forum hari ini.

Pembukaan rasmi perkhemahan dan forum telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri, Awang Sa Bali bin Abas selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei (RTB) di ibu negara.






SETIAUSAHA Tetap Jabatan Perdana Menteri, Awang Sa Bali bin Abas hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan Pembukaan Rasmi Perkhemahan Pasukan-Pasukan Beruniform Sekolah-Sekolah dan Maktab-Maktab Seluruh Negara dan Majlis Forum. (Foto : Abdul Kadir Mohd. Tahir)

Forum yang membincangkan tajuk ̀Kualiti Kepimpinan dan Pasukan Beruniform ́ sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Keagamaan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Haji Sammali bin Haji Adam, manakala ahli-ahli panel ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Bahagian Dasar dan Inspektorat, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Zasia binti Haji Sirin dan Ketua Kegiatan Luar, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Ali bin Haji Ismail.

Perkhemahan selama empat hari, bermula pada 18 Mac itu disertai oleh 187 orang ahli pasukan beruniform yang terdiri dari Pasukan Kadet Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah serta 35 orang guru pengawas.

FORUM yang disempenakan dengan sambutan Maulud Nabi Muhammad s.a.w. membincangkan tajuk ‘Kualiti Kepimpinan dan Pasukan Beruniform’. (Foto : Abdul Kadir Mohd. Tahir)


Aktiviti-aktiviti sepanjang perkhemahan itu antaranya, berlari pagi, menaikkan bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan, senaman, perlawanan sukan, lawatan, persembahan hiburan dan latihan senjata.

Antara objektif perkhemahan tersebut di adakan ialah untuk menanam sikap taat setia kepada negara melalui pasukan beruniform serta melahirkan sikap tanggungjawab dan semangat kerjasama di antara ahli-ahli pasukan beruniform.

(Oleh : Bolhassan Haji Abu Bakar)

- Pelita Brunei, Sabtu, 20 Mac 2010.

Tiada ulasan: