PBSM NBD Slideshow

Rabu, 3 Mac 2010

Persatuan perlu ada program berkesan

Oleh Sim Y H

Antara mereka yang hadir di Forum Pembangunan Organisasi Asia Tenggara

Haji Abdul Malik bersama peserta forum.


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Persatuan-persatuan kebangsaan diseru mempunyai program latihan yang teratur bagi pasukan sukarela mereka khususnya di kalangan belia bagi memastikan perkhidmatan yang mereka sumbangkan terutama di masa bencana atau mala petaka adalah optimum.

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Jemat Haji Ampal berkata, untuk itu, satu dasar kebangsaan bagi belia sudah ditubuhkan dengan memberikan tumpuan kepada penghasilan belia cemerlang yang mempunyai disiplin tinggi, bertanggungjawab, dinamik dan komited kepada pembangunan negara.

Di peringkat antarabangsa pula, Persatuan Bulan Sabit Merah pula amat komited kepada menyumbangkan perkhidmatan sukarela, pertolongan kemanusiaan, bantuan kecemasan serta pengurusan bencana, katanya.

Dato Paduka Haji Jemat berkata demikian ketika merasmikan Forum Pembangunan Organisasi Asia Tenggara 2010 di Jerudong, hari ini. Teks ucapannya dibacakan wakil peribadi beliau, Haji Abdul Malik Haji Muhammad.

Lebih 20 wakil dari Persatuan Bulan Sabit dan Palang Merah Asia Tenggara menyertai forum yang dikendalikan bersama oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei dengan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Bulan Sabit dan Palang Merah selama tiga hari bermula hari ini hingga 4 Mac.

Forum itu memberikan peluang kepada wakil persatuan dari setiap negara Asia Tenggara membincangkan perkembangan terkini di negara masing-masing serta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik setiap negara.

Dalam ucapan itu lagi, Dato Paduka Haji Jemat menyatakan bahawa jawatankuasa kerja kebangsaan bagi bencana adalah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei merupakan antara persatuan bukan kerajaan yang memberikan perkhidmatan sukarela bersama pakar perubatan di pusat pengasingan ketika kejadian wabak Influenza A H1N1 baru-baru ini.

Beliau menaruh harapan supaya semua peserta forum dapat menggunakan peluang yang diberikan untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan pengetahuan bukan sahaja terhadap isu semasa tetapi juga bagi meningkatkan keberkesanan organisasi masing-masing.



--media PERMATA

Tiada ulasan: