PBSM NBD Slideshow

Khamis, 25 Mac 2010

Tanam sikap taat setia melalui pasukan beruniform

Oleh Yusrin Junaidi

Sebahagian para pelajar yang menyertai perkhemahan berkenaan


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Perkhemahan Pasukan Beruniform Bagi Sekolah Menengah dan Maktab Seluruh Negara yang bermula hari ini adalah untuk mengumpul dan menyatukan ahli pasukan beruniform dari seluruh negara.


Perkumpulan persatuan beruniform diadakan dalam bentuk perkhemahan bagi menanam sikap taat setia kepada negara melalui pasukan beruniform, melahirkan sikap tanggungjawab pada diri sendiri, rakan seperjuangan, sekolah, persatuan dan juga masyarakat dan mewujudkan sika toleransi, persefahaman dan semangat kerjasama di antara ahli pasukan.


Perkhemahan pada tahun ini disertai enam pasukan beruniform yang terdiri dari Pasukan Kadet Tentera ABDB, Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah. Perkhemahan yang disertai 187 ahli persatuan dan 35 guru pengawas serta pemimpin pasukan melebihi daripada sasaran jumlah penyertaan.


Sepanjang perkhemahan yang bermula hari ini hingga 21 Mac itu pelbagai aktiviti yang sudah dirancang akan diadakan antaranya menaikkan Bendera Negara, persembahan dan hiburan, senaman, lawatan survival tentera, acara sukan dan solat berjemaah. Pengerusi Perkhemahan, Jalil Haji Kapitan ketika membentangkan statistik penganjuran perkhemahan berkata pada 2009 seramai 7664 orang telah melibatkan diri dalam kegiatan pasukan beruniform melalui sekolah.


Berliau menganggarkan kemungkinan statistik bagi 2010 akan mencapai sasaran Petunjuk Pencapaian Utama (KPI) Kementerian Pendidikan 2010-2011 yang menyasarkan seramai 9,000 pelajar terlibat dalam pasukan beruniform.


Beliau juga berkata aktiviti sepanjang perkhemahan ini nanti akan menerapkan nilai kepimpinan yang ingin diserapkan kepada semua ahli yang mengikuti perkhemahan itu sejajar dengan matlamat penubuhan setiap pasukan beruniform di sekolah dan maktab seluruh negara.


Sepanjang aktiviti perkhemahan berkenaan juga diadakan forum bertajuk Kualiti Kepimpinan dan Pasukan Beruniform sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW juga diadakan.


Antara panel forum yang hadir ialah Ketua Bahagian Keagamaan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Sammali Haji Adam, Pegawai Tugas-tugas Khas, Bahagian Dasar dan Inspektorat, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Zasia Haji Sirin dan ketua Bahagian Luar, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Ali Haji Ismail.


Media Permata - Sabtu, 20 Mac 2010.



Tiada ulasan: