PBSM NBD Slideshow

Isnin, 24 September 2012

JPK bertahlil di Kubah Makam Diraja


Oleh Imelda Farrah Zohre HA
Gambar oleh Haji Minor Absah
Warga Jabatan Pendidikan Kokurikulum terdiri daripada Bahagian Pasukan Beruniform dan Perkhidmatan bertahlil berama-ramai di Kubah Makam Diraja. Majlis dihadiri kira-kira 200 orang itu adalah sempena Hari Guru ke-22.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept - Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Pasukan Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan mengadakan Majlis Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien sempena Hari Guru ke-22 tahun yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Roslin Bin Suhailee, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, guru-guru dan kadet-kadet dari pasukan beruniform.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 50 orang pegawai, 51 orang guru pengawas dan 199 orang pelajar lelaki terdiri dari sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab seluruh negara itu dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil.

Pelajar-pelajar berkenaan terdiri dari Kadet Tentera, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Penyelamat, pengakap dan Pasukan Bulan Sabit Merah.

Majlis tersebut bertujuan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Guru kali ke-22 tahun ini, di samping mengambil berkat tanda kesyukuran dan mengenang jasa bakti Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien sebagai Arkitek Brunei Moden.

- Media Permata Online - Khamis, 20 September 2012

 

Tiada ulasan: