PBSM NBD Slideshow

Jumaat, 6 Mei 2011

Ekspo dan Karnival Amal tingkatkan semangat kerja berpasukan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 Mei. - Bagi memperingati Hari Bulan Sabit Merah Sedunia yang jatuh pada setiap 8 Mei, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam menganjurkan Ekspo Amal Kemanusiaan dan Karnival 2011 di kawasan letak kereta Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.




TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof ketika merasmikan Ekspo Amal Kemanusiaan dan Karnival 2011 di kawasan letak kereta Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.(Foto : Mohd. Zul-Izzi Hj. Duraman)


Ekspo selama seminggu yang bermula hari ini sehingga 8 Mei 2011 itu merupakan salah satu projek yang dirancang sebagai kegiatan Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei bagi tahun 2011/2012.


Petang tadi, Majlis Perasmian Ekspo dan Karnival ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Brunei Muara, Awang Haji Md. Suhaimi Haji Ibrahim menjelaskan, ekspo antara lain dihasratkan untuk meningkatkan sumber kewangan bagi membolehkan persatuan itu membuat kegiatan-kegiatan kemasyarakatan seterusnya dan membiayai apa jua keperluan persediaan peningkatan keupayaannya bagi memenuhi komitmen setempat dan di peringkat serantau dan antarabangsa.



PEMANGKU Pengarah Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Brunei Muara, Awang Haji Md. Suhaimi Haji Ibrahim semasa menyampaikan ucapan selaku Pengerusi Ekspo.(Foto : Mohd. Zul-Izzi Hj. Duraman)


Di samping itu tambahnya, ia juga memberi peluang kepada ahli-ahli persatuan untuk meningkatkan semangat usaha padu dan setia kawan serta kebolehan bekerja secara berpasukan, meningkatkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan selain mempelajari isu-isu yang berhubung dengan 'fund-raising' dan keusahawanan.


Ekspo dan Karnival Amal ini jelasnya dibahagikan kepada lima segmen iaitu pameran, ekspo jualan, bazar jualan, permainan dan hiburan dan segmen-segmen ini pula menjurus kepada empat perspektif iaitu keagamaan dan nasionalisma, peningkatan tabung kewangan, perkembangan sumber tenaga dan hiburan.


Di majlis tersebut, Yang Dimuliakan juga dibawa menyaksikan pameran dan bazar-bazar jualan yang terlibat di ekspo tersebut.


YANG Dimuliakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika mendengar penerangan dari salah seorang peserta yang mengikuti ekspo ini.(Foto : Mohd. Zul-Izzi Hj. Duraman)


Dengan tema 'The Chain of Humanity', ekspo tersebut juga sebagai menzahirkan serta menyatakan bahawa persatuan ini sentiasa memeduli serta sedia berkhidmat kepada masyarakat.


Ekspo dan Karnival Amal 2011 dibukakan bagi kunjungan orang ramai setiap hari sehingga 8 Mei depan dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 malam.(Oleh : Hjh. Siti Zuraihah Hj. Awang Sulaiman)


- Pelita Brunei Online Selasa 03 Mei 2011


Tiada ulasan: