PBSM NBD Slideshow

Isnin, 30 Mei 2011

PBSM Belait sumbang makanan kepada yang memerlukan

Oleh Hajah Saemah Zulkefli

KUALA BELAIT, 29 Mei - Atas dasar pemedulian terhadap mereka yang kurang berkemampuan di Daerah Belait, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cawangan Daerah Belait menghulurkan sumbangan kepada seorang warga emas dan dua buah keluarga yang pada masa ini menerima Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Kuala Belait.

Sumbangan tersebut, yang berupa catuan makanan asasi disampaikan oleh Pengerusi PBSM cawangan Daerah Belait Awang Chai Yum Fatt pada majlis yang diadakan di JAPEM dekat sini. Sumbangan itu merupakan salah satu aktiviti jangka masa panjang yang dilaksanakan oleh persatuan berkenaan dengan kerjasama JAPEM cawangan Belait.

Penerima sumbangan ialah Tang Siak Nang, 60, seorang penerima pencen umur tua, manakala Awang Omar Ahmad, 53, yang bekerja sendiri dan tinggal bersama-sama dengan tujuh orang anaknya yang semuanya masih bersekolah. Beliau menerima bantuan kebajikan berupa elaun pelajaran berjumlah $60 bagi setiap seorang anak. Bantuan tersebut adalah bagi anak-anak yang berusia 18 tahun ke bawah dan masih bersekolah. Sementara itu penerima lainnya Awang Asmalee Haji Saidon, 49, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan isterinya Noryati Japar, 50, suri rumah tangga sepenuhnya yang tinggal bersama-sama dengan enam orang anak mereka di Perumahan Rakyat Jati Kampung Mumong sejak 1996. Kesemua anak mereka masih bersekolah.

Bagi menyara kehidupannya sekeluarga Awang Asmalee mengambil upah memotong rumput bersama saudaranya, selain turut menerima bantuan kebajikan bulanan berupa elaun pelajaran untuk anak-anak.

Sumbangan kali pertama itu antara lain bertujuan untuk meringankan beban orang-orang kurang berkemampuan selain sebagai sikap keprihatinan serta pemedulian persatuan bukan kerajaan NGO dan pihak-pihak berkenaan terhadap mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan di daerah ini. Turut hadir menyaksikan majlis penyampaian sumbangan itu Ketua Cawangan JAPEM Kuala Belait Dayang Noridah Haji Ishak serta pegawai-pegawai JAPEM dan ahli-ahli PBSM.


- Media Permata - Isnin, 30 Mei 2011


Tiada ulasan: