PBSM NBD Slideshow

Rabu, 20 Julai 2011

Sertai Majlis Santap Pasukan Beruniform

AHAD, 17 Julai 2011 - Pertubuhan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam dari keempat-empat Cawangan Daerah telah menyertai Majlis Santap Pasukan Pertubuhan Beruniform yang diadakan sempena Hari Puja Usia Kali Ke 65 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman.


Seramai hampir 150 orang ahli persatuan yang mewakili daerah masing-masing telah tiba di pintu masuk istana seawal jam 6 petang. Majlis bermula pada jam 7:30 malam dan pada jam 8 malam adalah keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Dewan Santap. Sejurus ketibaan baginda, Doa Selamat Hari Puja Usia telah dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Mufti Kerajaan dan kemudian diikuti dengan majlis santap.


Setelah selesai, KDYMM berkenan berjunjung ziarah dan beramah-mesra dengan anggota-anggota beruniform. Setibanya di benteng PBSM NBD, baginda berkenan berbual-bual mesra dengan beberapa orang ahli persatuan. Turut menyertai junjung ziarah ini ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, YTM Paduka Pengiran Muda Haji Abdul Azeem, YTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji Abdul Malik dan YTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji Abdul Mateen.


Di antara ahli-ahli PBSM NBD yang pertama kali menyertai rakan sepasukan mereka di dalam majlis ini ialah ahli-ahli PBSM NBD dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diketuai oleh Abdul Hakeem bin Haji Roslan, mahasiswa Tahun 1 di kolej universiti berkenaan.


Selain daripada itu, kesempatan ini juga digunakan oleh ahli-ahli PBSM NBD untuk menikmati keindahan Istana Nurul Iman dengan mengambil gambar berlatarkan kawasan istana khususnya di kawasan Dewan Persantapan. Majlis selesai pada kira-kira jam 11:30 malam.


PBSM NBD adalah salah sebuah pasukan sokongan tindakbalas kecemasan semasa acara-acara keraiean sempena dengan Hari Puja Usia KDYMM sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat daerah.


Tiada ulasan: