PBSM NBD Slideshow

Selasa, 6 Oktober 2009

31 Guru Pengawas Tamat Bengkel Pasukan Bulan Sabit Merah

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Jun. – Bengkel tiga hari bagi guru-guru pengawas pasukan Bulan Sabit Merah sekolah-sekolah menengah bermula 13 Jun lalu telah berakhir pada hari ini dengan Majlis Penyampaian Sijil berlangsung di Dewan Serbaguna, Sekolah Rendah Anggerik Desa, Berakas.

Penyampaian sijil-sijil kepada 31 guru pengawas dari sekolah-sekolah menengah seluruh Negara yang mengikuti bengkel tersebut disempurnakan oleh Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Abdul Ghani bin Haji Abdul Kadir.

Pengarah Kebangsaan PBSM NBD merangkap Pengarah PBSM Daerah Brunei-Muara, Awang Haji Othman bin Mohd. Yusof dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, bengkel itu bertujuan untuk menyampaikan sistem pembelajaran persatuan berkenaan kepada semua guru pengawas pasukan Bulan Sabit Merah di sekolah-sekolah dan maktab-maktab seluruh negara.

Sepanjang bengkel berkenaan, guru-guru pengawas telah didedahkan tentang sejarah Palang Merah dan kemasukan Negara Brunei Darussalam menyertai pertubuhan antarabangsa, di samping dasar penukaran nama dari Palang Merah ke Bulan Sabit Merah.

Selain itu guru-guru pengawas juga dibawa melawat ke Bahagian Kecemasan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, di mana kedua-dua agensi kerajaan itu menjalankan kerja-kerja menyelamat jiwa yang mempunyai persamaan dengan pergerakan PBSM NBD.

Selain itu, mereka juga diajarkan tentang asas-asas pertolongan cemas, cara-cara merawat orang cedera seperti luka, patah dan sebagainya, di samping mempelajari teknik dan tatacara kawad kaki.

(Oleh: Bolhassan Haji Abu Bakar)


PENGARAH Kebangsaan PBSM NBD merangkap Pengarah PBSM Daerah Brunei Muara, Awang Haji Othman bin Mohd. Yusof ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Bengkel Guru-Guru Pengawas Pasukan Bulan Sabit Merah Sekolah-Sekolah Menengah. (Foto : Hernie Suliana Haji Othman)



PEMANGKU Penolong Jabatan Pendidikan Kokurikulum Cikgu Abdul Ghani bin Haji Abdul Kadir menyampaikan sijil kepada Cikgu Huzaimi bin Matsani, Guru Pengawas Pasukan Bulan Sabit Merah SM PAP Rashidah Lumut. (Foto : Hernie Suliana Haji Othman)


Tiada ulasan: