PBSM NBD Slideshow

Selasa, 6 Oktober 2009

Pasukan Bulan Sabit Merah Sertai Perkhemahan di Labi

LABI, 19 Mac 2009 – Seramai 140 orang ahli pertubuhan beruniform dari beberapa buah sekolah seluruh negara telah menyertai Perkhemahan Pertubuhan Beruniform kali ke 8 tahun 2009. Perkhemahan yang diadakan selama 4 hari 3 malam bermula pada hari ini dan berakhir pada 22 Mac 2009 turut disertai oleh beberapa orang guru pengawas dan ahli-ahli dari Pertubuhan Bulan Sabit Merah Sekolah-sekolah Menengah Negara Brunei Darussalam.

Perkhemahan ini dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam sebagai kegiatan tahunan jabatan berkenaan yang mengambil tempat di Pusat Kegiatan Kokurikulum jabatan berkenaan yang merupakan bekas Sekolah Rendah Rampayoh di Mukim Labi yang tidak digunakan lagi.

Perkhemahan dibuka rasmi oleh Yang Mulia Datin Paduka Dyg Apsah binte Haji Abdul Majid Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam pada pagi Jumaat, 20 Mac 2009.


Tetamu Kehormat sedang memeriksa perbarisan dari
Pasukan Bulan Sabit Merah yang menyertai perkhemahan
Antara aktiviti yang mengambil tempat termasuk aktiviti kawad, taklimat asas pertolongan cemas daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD) Cawangan Daerah Belait, Aktiviti Merintis, aktiviti treking dari Wasai Wong Kadir ke Bukit Teraja, aktiviti berjalan malam dan sukan kecil yang bertujuan mendedahkan peserta dengan aktiviti bercorak pembangunan jati diri, mewujudkan sikap toleransi, persefahaman dalam berpasukan dan memberi pendedahan awal kepada bidang kerjaya beruniform.


Dengan mengikuti aktiviti dalam pasukan beruniform itu dapat membantu diri pelajar memupuk dan membentuk diri supaya menjadi generasi bangsa yang mempunyai sikap, tingkah laku dan pemikiran yang positif, produktif serta kreatif dan juga melatih menjadi pemimpin masa akan datang.


Perkhemahan berakhir dengan penyampaian hadiah dan sijil penyertaan disempurnakan oleh Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Ali Haji Ismail.




Tiada ulasan: