PBSM NBD Slideshow

Selasa, 6 Oktober 2009

Hari Bulan Sabit Merah Sedunia diraikan setiap 8 Mei

KUALA BELAIT, Jumaat, 8 Mei. – Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Belait (PBSMDB) pagi tadi menyambut Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia yang diraikan pada 8 Mei setiap tahun.

PEGAWAI Latihan danPerkembangan Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD), Awang Jimmy Foo Jee Shing menyampaikan surat tauliah jurulatih kepada salah seorang penerima.

Tetamu kehormat juga menyampaikan surat kenaikan pangkat pegawai peringkat rendah kepada empat orang penerima termasuk Sarjan Md. Nizar bin Minggu yang dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Percubaan, seorang Lans Koperal kepada Koperal dan dua orang dinaikkan Lans Koperal pada majlis yang diadakan di ibu pejabat persatuan berkenaan.

Timbalan Pengarah Daerah Persatuan tersebut, Awang Haji Pungot bin Haji Awang Damit berharap semua pegawai dan ahli persatuan supaya mempergiatkan lagi aktiviti yang telah dan akan diselenggarakan tahun ini.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai dan ahli persatuan yang telah memberi pertolongan semasa negara menghadapi bencana alam seperti banjir baru-baru ini.

“Inilah dikatakan semangat patriotik kebangsaan negara, semangat yang sentiasa ditanam dalam jiwa anak bangsa kita, dalam apa jua situasi pun kita sentiasa bersedia.” ujar beliau.

Sambutan merupakan projek tahunan persatuan dengan matlamat bagi mengenang jasa pengasas persatuan sedunia, di samping mendedahkan kepada semua ahli mengenai penubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di seluruh dunia serta mengumpulkan kesemua ahli persatuan khususnya cawangan daerah ini bagi mengeratkan silaturahim di antara pegawai pentadbiran dengan unit.

Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam yang dulu dikenali sebagai Persatuan Palang Merah ditubuhkan pada tahun 1948 dan diasaskan oleh Al-Marhum Pengiran Temenggung Pengiran Haji Mohammad.



JASAMU DIKENANG... Tetamu kehormat menyematkan pangkat Pegawai Percubaan kepada Sarjan Md. Nizar bin Minggu.

Penubuhannya di negara ini bagi menyahut seruan keputusan Persidangan Pertubuhan Antarabangsa pada 5 Mei 1919 di Canvas, Perancis untuk lebih banyak lagi penubuhan palang merah di seluruh dunia.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, persatuan berkenaan telah diiktiraf secara sah dalam perlembagaan negara dalam tahun 1959 dan setelah merdeka persatuan itu diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalm Akta CBD di bawah Penggal 83 (3) bertarikh 17 Januari 1991 sebagai sebuah persatuan bantuan sukarelawan yang dipertanggungjawabkan tertakluk pada syarat-syarat permesyuaratan Geneva.

Salah satu tujuan penubuhan persatuan tersebut di negara ini bagi mengadakan satu persatuan yang terbuka dengan tiada diskriminasi agama, bangsa, warna kulit dan politik serta menggalakkan penyertaan terutama para belia bagi membentuk jasmani, akal. Sosial dan rohani supaya boleh mengambil tempat yang membina dalam masyarakat.

Tugas utama persatuan tersebut bagi memberikan bantuan kecemasan kepada masyarakat, pembukaan bilik gerakan bagi bencana alam dan tidak ketinggalan menjalankan tugas kecemasan semasa banjir baru-baru ini di daerah Tutong.

Dengan pegawai dan ahli seramai lebih seratus orang, persatuan tersebut menyelenggara berbagai aktiviti seperti pengambilan ahli-ahli baru di sekolah-sekolah di daerah ini, mengadakan ceramah pertolongan cemas serta mengadakan perkhemahan dan lawatan.

(Berita dan Foto : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli)

Tiada ulasan: