PBSM NBD Slideshow

Selasa, 6 Oktober 2009

PBSM NBD SERTAI PERBARISAN LALU HARI KEBANGSAAN KE 25

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Februari. – Suasana gilang-gemilang Perhimpunan Agung Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tahun ini turut dimeriahkan dengan upacara perbarisan lalu yang disertai oleh 18,273 peserta dari 108 pasukan yang mengambil bahagian.

Pasukan-pasukan yang terlibat terdiri dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, institusi-institusi pendidikan kerajaan dan swasta, persatuan-persatuan, pertubuhan-pertubuhan dan sektor-sektor swasta di negara ini.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima tabik hormat perbarisan lalu pasukan-pasukan yang melintasi pentas diraja Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Upacara perbarisan lalu di hadapan pentas diraja didahului oleh pasukan pembawa bendera besar Negara Brunei Darussalam terdiri dari 47 anggota ABDB kemudian disusuli oleh pasukan pembaca ikrar seramai 25 orang yang diketuai oleh Awangku Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki diikuti oleh 245 peserta yang membawa bendera Negara Brunei Darussalam dan bendera logo. Pasukan dari ABDB menyusuli acara perbarisan lalu melibatkan seramai 1025 peserta diikuti oleh 1000 peserta dari PDB.

Perbarisan raksasa ini turut disertai oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam yang telah menghantar seramai 120 orang ahli. Selain dari menyertai perbarisan, hampir 50 orang ahli PBSM NBD yang lain telah bertugas sebagai paramedik di dalam dan di sekitar kawasan stadium.


120 ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam di dalam perbarisan lalu sempena Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 23 Februari 2009
(Foto: Jabatan Penerangan /www.infofoto.gov.bn)

Tiada ulasan: