PBSM NBD Slideshow

Isnin, 26 Oktober 2009

Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja

Bandar Seri Begawan, Rabu, 21 Oktober 2009 - Seramai 100 orang yang terdiri dari pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK) Kementerian Pendidikan, guru-guru pengawas pasukan beruniform serta ahli-ahli pasukan pertubuhan beruniform dari sekolah-sekolah menengah daerah Brunei-Muara telah menghadiri majlis membaca Surah Yasin dan bertahlil sempena Hari Guru Kali Ke-19 bagi tahun 2009. Majlis bertempat di Kubah Makam Diraja di Jalan Tutong pagi tadi.

Turut hadir di majlis itu ialah guru-guru pengawas dan juga ahli-ahli pertubuhan Bulan Sabit Merah dari beberapa buah sekolah menengah di samping Kadet Tentera, Kadet Polis, Kadet Bomba & Penyelamat dan Pasukan Pengakap. Majlis bermula pada kira-kira jam 8:30 pagi dengan ucapan alu-aluan dari Ketua Unit Beruniform, Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan dan sesudah itu barulah majlis membaca Surah Yassin dimulakan.

Majlis membaca Surah Yassin dan bertahlil tersebut adalah untuk ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit. Majlis itu juga merupakan projek tahunan JPKK yang disempenakan dengan Sambutan Hari Guru.

Pada tahun ini, sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan akan diadakan pada Hari Khamis 17 Zulqaedah 1430H bersamaan dengan 5 November 2009 di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas bermula pada jam 8:30 pagi.

Tiada ulasan: